
Kementerian Kesihatan didapati mendapat peruntukan Belanjawan 2021 yang jauh lebih rendah berbanding Belanjawan 2020.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata perkara itu mengecewakan kerana kementerian itu memerlukan dana yang tinggi untuk menghadapi Covid-19 dan membiaya petugas barisan hadapan.
"Saya rasa kesal terhadap peruntukan yang dikurangkan secara drastik dalam belanjawan Kementerian Kesihatan pada tahun depan walaupun terdapat 8 aktiviti perbelanjaan mengurus yang agak signifikan.
"Negara sedang berdepan pandemik Covid-19 dan Kementerian Kesihatan memerlukan suntikan dana yang mencukupi bagi memastikan rawatan dapat dibuat dengan baik," katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan peruntukan Kementerian Kesihatan peringkat jawatankuasa.
Shamsul turut menyenaraikan beberapa peruntukan yang dikurangkan.
Antaranya adalah nefrologi (perubatan terhadap buah pinggang) yang sebelum ini mendapat RM205 juta tetapi kini dikurangkan kepada RM56 juta.
Farmasi dan bekalan juga dikurangkan dari RM1.9 bilion kepada RM512 juta manakala kardiotorasik pula berdepan pengurangan dari RM188 juta kepada RM60 juta.
Peruntukan untuk radioterapi dan onkologi yang mendapat dana RM328 juta pada 2020 kini dikurangkan kepada RM136 juta malah peruntukan perubatan awam berkurangan dari RM1.7 bilion kepada RM1.4 bilion.
Anesteseologi dan rawatan rapi pula berkurang kepada RM449 juta berbanding RM499 juta, perubatan respiratori berkurangan dari RM38 juta kepada RM34 juta diikuti sekretari dan kesihatan mental dikurangkan dari RM344 juta kepada RM313 juta.
Shamsul juga mempersoalkan peruntukan untuk perkhidmatan sokongan klinik.
"Perkhidmatan sokongan klinik ini dulu dapat RM137 juta dalam belanjawan kali ini kosong, apakah langsung tidak ada sokongan untuk rakyat pada tahun depan?" soalnya.
תגובות