Pemergian Ahli Parlimen Julau, Lary Sng menyertai Perikatan Nasional tidak akan menjejaskan KEADILAN Sarawak.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sarawak, Saifunnizam Sam berkata, dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan AMK Negeri Sarawak semalam, sayap pemuda yakin KEADILAN Sarawak akan kekal mantap menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini tanpa bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Larry Sng.
"AMK Sarawak yakin pengunduran Larry Sng selaku Pengerusi Negeri tidak akan menjejaskan kepimpinan parti memandangkan ketokohan ramai ahli Majlis Pimpinan Negeri yang lain sekiranya diberi peluang dan sokongan untuk memimpin parti
"AMK juga yakin semua pihak, baik di peringkat negeri mahupun cabang akan terus fokus dengan agenda kepentingan rakyat dan pelbagai gerak kerja parti di lapangan sebagai persiapan menghadapi PRN tidak lama lagi.
"Apa yang penting, semua pihak harus tekun dalam mendepani krisis politik negara demi mendapatkan kembali kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihan raya di Malaysia yang telah dicemari oleh pihak-pihak yang tamak haloba, rakus dan tidak bermaruah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, katanya, sayap pemuda itu akan kekal berpegang teguh kepada prinsip-prinsip dan landasan perjuangan parti sejak penubuhannya di samping menyokong penuh kepimpinan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, AMK turut yakin rakyat Malaysia akan menggunakan sebaik-baiknya kuasa yang ada pada mereka untuk menghukum dan menentukan nasib petualang dan pengkhianat pada PRU akan datang.
Justeru, katanya, AMK Sarawak ingin mengingatkan kepada semua wakil rakyat KEADILAN dan Pakatan Harapan yang telah dipilih pada PRU ke-14 agar terus istiqamah dengan prinsip perjuangan dan memelihara amanah para pengundi tanpa tunduk kepada sogokan dan ugutan yang terus menerus dibuat oleh Perikatan Nasional demi kelangsungan politik mereka.
Comments