
Pemilihan KEADILAN 2022 bagi cabang Gombak yang dinanti nantikan dari siri pengundian fizikal kelihatan tenang sejak dari pagi sehingga jam 1.00 petang.
Pengundian fizikal di Gombak dispekulasikan banyak pihak akan 'panas' kerana Ketua Cabang Datuk Seri Amirudin Shari dicabar oleh mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador.
Namun penyerahan cai pada saat akhir di barong barong berhadapan pusat pengundian Dewan Beringin, Gombak menunjukkan situasi tenteram dan para petugas daripada kedua dua calon kelihatan berhemah.

Menurut seorang petugas di barong kem #KitaSemuaKEADILAN, keadaan berjalan lancar sejak pukul 8.00 pagi.
Beliau yang mahu dikenali sebagai Zafarul berkata, kerja kerja penyediaan pengundi untuk masuk ke dewan mengundi tidak mengalami apa apa masalah dan petugas di barong yang menyokong Farhash juga menjalankan tugas mereka tanpa gangguan.
"Kita menyusun pengundi fizikal ini. Suasana aman harmoni, ramai pengundi dari kedua belah pihak hadir.
"Saya berpesan kepada pengundi fizikal ini, undilah orang yang betul betul berkerja untuk KEADILAN Gombak," katanya.
Manakala Farhash yang ditemui wartawan berkata, pengundian di Gombak mungkin memecahkan rekod kerana peratusan yang keluar begitu tinggi.

"Kita tengok peratusan keluar mengundi tinggi. Saya rasa tertinggi untuk cabang ini setelah tertubuh lebih 20 tahun lalu," katanya.
Ditanya apakah misi politik beliau sekiranya berjaya menguasai cabang Gombak, Farhash berkata beliau akan lebih menyantuni ahli dan memperbanyakkan ranting.
"Misi saya dari dulu sama sahaja. Kita harus menyantuni ahli, perbanyakkan ranting, hidupkan ranting biar ada aktiviti, perkukuhkan cabang untuk hadapi pilihan raya.
"Sebagai orang politik kita kena turun ke bawah, kuatkan ahli, jentera kita. Barulah kita pergi keluar menyantuni pengundi. Saya jangkakan Pilihan Raya Umum (PRU) tak lama lagi mungkin bulan Ogos, September atau paling lambat bulan Disember.
"Gerak kerja harus bermula selepas pemilihan," katanya.
Bagaimanapun beliau menghargai apa yang dilakukan oleh MB Amirudin selaku Ketua Cabang Gombak sejak Ahli Parlimen kawasan itu menghianati parti.
Farhash berharap dapat berkerjasama dengan Amirudin untuk menyiapkan parti menghadapi PRU ke 15
"Saya hadir di sini menwarkan alternatif, menang atau kalah saya tetap akan membantu Amir, dan kalau saya menang pun dia diharap akan membantu saya untuk merampas kembali kerusi yang telah dikhianati ini.
"Saya tak tahu peratusan akan menang, cuma gerak kerja telah berjalan sejak Januari. Tak ada satu hari pun bercuti.
"Kalau tengok data keanggotaan dalam 13,000 lebih ini, saya rasa telah sampir kesemua kita hubungi, WhatsApp, call, mesej. Jadi kita tahu siapa yang akan undi siapa, siapa tak mengundi, nak masuk Pas, Umno, Bersatu atau yang dah meninggal.
"Kita dah buat pemutihan data, yang betul aktif dalam 10,000. Pengundian Atas Talian ada 2,200 dan dalam 60% adalah pengundi yang kami telah keluarkan," katanya lagi.
Comments