top of page

Pengundian awal PRN NS lancar, SPR sasar keluar mengundi lebih 70 peratus

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read
Pengundian awal bagi anggota keselamatan dan pasangan berjalan lancar hari ini
Pengundian awal bagi anggota keselamatan dan pasangan berjalan lancar hari ini

Pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 hari ini berlangsung dalam suasana teratur apabila semua pusat mengundi beroperasi dengan lancar tanpa sebarang insiden yang menjejaskan proses demokrasi.


Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom berkata, hasil pemantauan yang dilakukan di beberapa lokasi mendapati anggota polis dan tentera yang hadir sebagai pengundi awal memberikan kerjasama penuh serta mematuhi setiap prosedur ditetapkan.


Menurut beliau, tahap disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh pengundi awal membantu memastikan keseluruhan proses berjalan dengan tersusun, sekali gus mencerminkan komitmen pasukan keselamatan dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.


"Pemerhatian awal biasanya tidak menghadapi masalah kerana anggota polis dan tentera sangat berdisiplin.


"Mereka mengikut prosedur yang ditetapkan dan setakat ini semuanya berjalan dengan baik.


Calon DUN Linggi DS Aminuddin (baju merah) melawat tempat pembuangan undi awal di Port Dickson
Calon DUN Linggi DS Aminuddin (baju merah) melawat tempat pembuangan undi awal di Port Dickson

"Rumah atau pusat pemerhatian di sini juga berada dalam keadaan baik dan saya tidak melihat sebarang masalah hari ini," katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.


Mengulas pengalaman pengundian awal sebelum ini, Azmi berkata, SPR tidak pernah menerima laporan membabitkan sebarang insiden serius sepanjang proses tersebut berlangsung.


Dalam pada itu, beliau memaklumkan kadar keluar mengundi bagi pengundian awal lazimnya sangat memberangsangkan dan kebiasaannya melepasi 90 peratus.


Bagi hari pengundian sebenar pada 1 Ogos nanti, beliau berharap peratusan keluar mengundi dapat melepasi 70 peratus.


"Pengundian bagi pilihan raya negeri biasanya menerima perhatian yang sedikit berbeza berbanding pilihan raya Parlimen, namun jika kita dapat mencapai lebih 70 peratus kehadiran pengundi, itu merupakan satu pencapaian yang sangat baik," jelas Azmi.


Proses pengundian awal PRN Negeri Sembilan Ke-16 bermula hari ini melibatkan seramai 22,339 anggota keselamatan dan pasangan di 38 pusat mengundi awal di seluruh negeri.


Daripada jumlah itu, 16,884 merupakan anggota tentera dan pasangan, manakala 5,455 lagi terdiri daripada anggota polis serta pasangan yang layak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page