Pengundian awal PRN N Sembilan libatkan lebih 22,000 anggota keselamatan
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 1 min read

Seramai 22,339 anggota keselamatan bersama pasangan yang layak mula menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada Selasa.
Proses pengundian dijalankan di 38 pusat mengundi awal di seluruh negeri yang dibuka serentak pada jam 8 pagi dalam keadaan cuaca umumnya baik di kebanyakan kawasan.
Daripada keseluruhan pengundi awal itu, seramai 16,884 terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, manakala baki 5,455 ialah anggota polis serta pasangan masing-masing.
Mengikut jadual yang ditetapkan, sebanyak 18 pusat mengundi akan ditutup pada jam 12 tengah hari, dua lagi pada jam 2 petang, manakala baki 18 pusat mengundi beroperasi sehingga jam 5 petang.
Antara lokasi yang menjadi pusat pengundian awal ialah Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson, Pangkalan Udara Sendayan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di Seremban, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai serta Kem Tentera Syed Sirajuddin, Gemas di Tampin.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca cerah di kebanyakan kawasan pada sebelah pagi. Bagaimanapun, Port Dickson dijangka mengalami hujan lebat dan ribut petir.
Menjelang sebelah petang, hampir seluruh Negeri Sembilan diramal berdepan hujan lebat berserta ribut petir.
Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan telah dibubarkan pada 5 Jun lalu, manakala hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 ditetapkan pada 1 Ogos 2026 (Sabtu).




Comments