top of page

Pengundi utamakan kestabilan ekonomi, bukan politik perkauman - Abdullah Sani

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Pengundi kini menolak kempen berasaskan politik perkauman, sebaliknya lebih mengutamakan kestabilan ekonomi serta rekod pentadbiran Kerajaan MADANI dalam menentukan pilihan mereka, kata Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (gambar).


Beliau berkata, naratif yang sering dimainkan pihak lawan seperti "undi Harapan bermakna undi DAP" tidak lagi memberi kesan besar kerana rakyat semakin matang dan menilai prestasi kerajaan berdasarkan pencapaian ekonomi serta kesejahteraan hidup.


"Orang ramai hari ini melihat siapa yang mampu mentadbir negara dengan baik dan memastikan ekonomi terus berkembang. Mereka tidak lagi mudah dipengaruhi dengan politik kebencian atau sentimen perkauman," katanya ketika berceramah pada majlis sembang santai bersama Veteran KEADILAN di Ampangan hari ini.


Menurut Abdullah Sani, dakwaan bahawa DAP merupakan ancaman kepada orang Melayu juga tidak berasas kerana rekod lampau menunjukkan pemimpin parti itu sendiri pernah mempertahankan hak UMNO untuk terus wujud dalam sistem demokrasi negara.


Beliau merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, pada September 2019 yang secara terbuka menyatakan Umno tidak sepatutnya diharamkan walaupun beberapa pemimpinnya berdepan kes mahkamah.


Lim ketika itu menegaskan Umno perlu diberi peluang memperbaiki parti dan pembatalan pendaftarannya hanya akan mencetuskan sentimen perkauman serta memecahbelahkan masyarakat.


"Sebab itu saya kata, jangan mudah percaya. Hakikatnya, ketika timbul cadangan supaya Umno diharamkan, pemimpin DAP sendiri tampil mempertahankan supaya perkara itu tidak berlaku," katanya.


Beliau berkata, pengalaman sepanjang berkempen juga menunjukkan perubahan ketara dalam pemikiran pengundi apabila mereka lebih memberi perhatian kepada isu kos sara hidup dan kestabilan negara berbanding retorik perkauman.


Abdullah Sani berkongsi pengalaman bertemu seorang pengundi warga emas yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak mahu negara kembali berdepan kesukaran ekonomi.


"Beliau beritahu saya, rakyat berdepan pelbagai kesukaran untuk mendapatkan keperluan harian dan tidak mahu keadaan itu berulang. Bagi beliau, kestabilan kerajaan lebih penting daripada politik yang memecahbelahkan rakyat," katanya.


Dalam pada itu, Abdullah Sani berkata Kerajaan MADANI terus memberi tumpuan kepada agenda memperkasa ekonomi rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk pembiayaan keusahawanan.


Menurutnya, TEKUN Nasional telah melahirkan lebih 700,000 usahawan di seluruh negara, manakala peruntukan kepada agensi itu turut meningkat daripada RM330 juta kepada RM553 juta di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, peningkatan peruntukan itu membolehkan lebih ramai usahawan dibantu, dengan sasaran melahirkan 45,000 usahawan baharu tahun ini berbanding 42,000 pada tahun lalu.


"Apabila ekonomi rakyat diperkukuh, mereka akan lebih yakin terhadap masa depan.


"Sebab itu saya percaya pengundi hari ini membuat pilihan berdasarkan kestabilan ekonomi dan hasil yang mereka nikmati, bukannya sentimen perkauman yang dimainkan dalam kempen politik," katanya lagi

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page