
Pasca pembubaran parlimen, pengundi di kawasan Batu, Wilayah Persekutuan yang melakukan semakan di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati lokasi mengundi mereka telah diubah tanpa kebenaran.
Menurut Naib Ketua Cabang KEADILAN Batu, Rozan Azen Mat Rasip, sebanyak 4 pengundi di cabang berkenaan setakat ini telah mendapati nama mereka ditukar kawasan mengundi yang lain.
"Seramai lagi enam aduan sedang disiasat. Ini semua berlaku dalam tempoh masa tidak sampai 48 jam pasca pengumuman pembubaran Parlimen Malaysia oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
"Penukaran ke kawasan undi lain itu melibatkan pertukaran tanpa izin, antaranya ke Parlimen Gombak, Parlimen Wangsa Maju dan Parlimen Kepong.
"Para pengundi yang menetap di beberapa kawasan dalam Parlimen Batu itu semua membuat aduan setelah mereka sendiri memeriksa dan kemudiannya terkejut mendapati kawasan undi mereka telah dipindahkan," katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan itu, Rozan mendesak agar taktik menukar lokasi mengundi yang diamalkan sejak berdekad dekad lalu tidak dilakukan lagi pada Pilihan Raya Umum kali ini.
"Saya dan jentera Pilihan Raya Umum Ranting Taman Koperasi Polis 2 amat dukacita dengan semua aduan ini yang dinilai sebagai suatu permasalahan yang tidak sepatutnya timbul setelah rakyat Malaysia mendesak tuntutan perubahan penting dalam siri gelombang demonstrasi BERSIH, dan kerajaan sudah seharusnya semakin lebih bertanggungjawab
"Kes-kes sebegini amatlah serius dan perlulah disiasat dengan teliti. Saya dan para pengadu akan membuat laporan polis. Seterusnya aduan kepada NGO BERSIH dan kemudiannya kepada badan SPR agar tindakan diambil segera," katanya.