Pengundi N Sembilan nilai prestasi, tolak politik sentimen
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Pengundi Negeri Sembilan digesa menilai prestasi dan rekod pencapaian Kerajaan Negeri sebelum membuat keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.
ADUN Batu Uban, A Kumaresan berkata, pentadbiran Negeri Sembilan di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun bersama Pakatan Harapan (PH) telah mewujudkan pentadbiran yang stabil, berintegriti dan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat.
"Saya merayu kepada pengundi Negeri Sembilan undilah berdasarkan rekod pencapaian dan prestasi Kerajaan Negeri, bukannya dipengaruhi emosi atau sentimen perkauman," katanya dalam hantaran di media sosial.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama mahupun kaum, dengan bantuan disalurkan secara adil.
Tambahnya, perkembangan ekonomi negeri turut menunjukkan kemajuan melalui kemasukan pelaburan baharu, pembukaan kawasan perindustrian serta peningkatan peluang pekerjaan.
Perkembangan tersebut memberi lebih banyak pilihan pekerjaan kepada rakyat tempatan, khususnya golongan belia.
"Ini memberi lebih banyak pilihan kerjaya kepada rakyat Negeri Sembilan, khususnya golongan belia, agar mereka tidak lagi perlu berhijrah ke Kuala Lumpur atau Singapura semata-mata untuk mencari rezeki," ujarnya.
Kumaresan turut mempersoalkan keperluan menukar kerajaan sekiranya pentadbiran sedia ada telah membuktikan prestasi, kestabilan dan komitmen terhadap rakyat.
"Apabila sebuah kerajaan telah membuktikan prestasi, kestabilan dan komitmennya kepada rakyat, apakah alasan untuk menukar kerajaan yang sedang membawa kemajuan?"
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Negeri Sembilan mengekalkan kestabilan dan kesinambungan pembangunan negeri dengan memberikan sokongan kepada PH.
"Kekalkan kestabilan. Kekalkan kemajuan. Undilah Pakatan Harapan," katanya lagi.




Comments