Pengundi muda atau Undi 18 tidak berminat kepada politik sekiranya tidak dibekalkan maklumat tambahan.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berminat atau tidak generasi muda mentelaah politik adalah berdasarkan maklumat yang disampaikan kepada mereka dengan cara yang bersesuaian.
"Orang tanya 1MDB apa benda, tak tahu. Tak boleh macam itu sebab kita bayar (hutang) RM32 bilion. Ini bukan politik saja, sebab yang bayar Kementerian Kewangan. Ambil fakta dan teliti. Ini tanggungjawab kita.
"Kalau tidak, orang bagi hak mengundi, undi siapa, mana fakta dia? Itu saudara kena ambil ikhtibar untuk ambil langkah tambahan. Ada orang kata umur 19, 20 tahun tak minat politik, tak tau apa.
"Saya baru baru ini di Johor Bahru kata jangan leter begitu. Masa kamu umur 18, 19 kamu minat kah politik? Tidak sehingga dikemukakan maklumat tambahan. Kerana orang muda mudah tersentuh jiwanya. Mereka idealisme. Memang nakal sikit. Tetapi orang muda ini suka kebaikan, keadilan, itu naluri asal manusia," katanya dalam program Santai Petang Belia Malaysia bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Port Dickson, semalam.
Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu lagi, negara ini kaya dengan hasil bumi dan hasil industri namun apabila dibazirkan ke tempat yang tidak sepatutnya maka terpaksa rakyat berhutang berbilion ringgit.
Hutang tersebut pula dibebankan kepada generasi muda hari ini untuk membayarnya pada tahun tahun akan datang.
"Bagi negara kaya seperti kita hal ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya wang itu tidak dihabiskan ke tempat lain. Malaysia antara negeri paling kaya.
"Saya tahu sebab saya Menteri Kewangan lapan tahun. Masa itu keadaan berbeza, pertumbuhan ekonomi tinggi dan kita tak berhutang. Kita bayar hutang dan henti berhutang.
"Tetapi selepas itu, sekarang kita hutang RM1 trilion. Siapa bayar, saudara bayar. Tapi bila tanya saya tak tahu, bukan hal saya. Yang nak bayar generasi kamu.
"Sebab itu bila orang tanya adakah kamu tahu, ya tahu. Kerana generasi saya yang akan bayar ketelanjuran yang dilakukan generasi sekarang," katanya.
Selain itu, Anwar juga mengungkapkan mengenai penekanan mengutamakan nilai kemanusiaan dalam kalangan anak muda.
Katanya, tidak mengira apa bangsa kemanusiaan itu mesti menjadi nilai utama dalam hidup.
"Islam ada akidah, akhlak, begitu juga Hindu dan sebagainya. Tetapi kemanusiaan mesti mengatasi. Allah jamin dalam al Quran 'sesungguhnya Aku angkat kedudukan, muliakan anak cucu Adam'.
"Karamah ini semua manusia, tetapi manusia yang macam mana? Iaitu sama ada kita pilih jadi semulia mulia keadaan atau serendah rendah kejadian.
"Sebab itu di Parlimen saya pernah kata kalau ular sawa dia lapar, dia makan seekor kambing, dia rehat seminggu sebab dia dah kenyang.
"Manusia yang zalim, atau rasuah dia ambil hari hari, dia tak boleh berhenti," katanya lagi.
Comments