Pengundi muda, anak Johor di perantauan penentu PRN Johor - Dr Zaliha
- Suara Keadilan

- Jul 4
- 1 min read

Pengundi muda serta pengundi yang berada di luar Johor dijangka menjadi faktor penentu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata begitu sebagai mengulas ramalan seorang pemimpin DAP, Ong Kian Ming yang meramalkan Barisan Nasional (BN) berpotensi memenangi sehingga 53 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN itu.
Menurut Dr Zaliha, setiap individu berhak mengemukakan analisis politik masing-masing, namun keputusan sebenar hanya akan ditentukan menerusi peti undi.
"Pilihan raya tidak diputuskan melalui ramalan atau tinjauan. Ia ditentukan oleh rakyat yang keluar mengundi," katanya dipetik sambil menyeru seluruh rakyat Johor, khususnya pengundi muda dan anak Johor di luar negeri itu pulang membuat perubahan.
"Setiap undi amat penting jika kita mahu memastikan Johor terus bergerak ke arah yang lebih baik."
Terdahulu, Ong berkata, ramalannya bersandarkan keputusan jumlah undi antara BN, PH dan PN dalam PRU15.
Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Aminolhuda Hassan berpandangan keputusan Pilihan Raya Negeri Johor 2022 tidak boleh dijadikan ukuran mutlak bagi menghadapi PRN kali ini.
Menurut beliau, kadar keluar mengundi ketika itu terjejas berikutan kebimbangan rakyat terhadap pandemik Covid-19.
"Sentimen pengundi kini jauh berbeza apabila rakyat dapat melihat sendiri perubahan yang dibawa Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk kestabilan politik yang lebih kukuh, pertumbuhan ekonomi serta peningkatan keyakinan pelabur terhadap negara," tambahnya.




Comments