Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini buat pertama kalinya pengundi melahirkan sokongan secara terbuka kepada Pakatan Harapan (PH).
Hal itu dinyatakan oleh calon DUN N.14 Rawang, Chua Wei Kiat.
Katanya, rata rata pengundi Melayu di kawasan beliau menunjukkan sikap positif ke atas pentadbiran PH selama 15 tahun di Selangor.
"Saya dapat maklum balas dari Melayu amat positif. Pandangan saya, rakyat Selangor mengetahui usaha PH semala 15 tahun. Kita mentadbir negeri dan mereka rasa puas hati dengan pencapaian hari ini
"Masa kita turun padang jumpa masyarakat, respon itu positif. Pengalaman saya kempen, kali ini amat positif, mereka terus nyatakan sokongan kepada PH," katanya dalam sidang media di pejabat pusat khidmat beliau di Rawang, petang tadi.
Bagaimanapun, beliau agak khuatir kepada golongan yang kurang peka politik tetapi menyokong kerajaan PH Selangor.
Katanya, golongan tersebut ada yang masih tidak tahu bahawa PH dan BN masuk PRN kali ini sebagai sekutu dan bukannya seteru.
"Cuma yang saya risau golongan yang tidak begitu tahu isu politik, maka mereka tak tahu lagi Kerajaan Perpaduan BN dan PH. Penting media beritahu mesej ini," katanya.
Ditanya mengenai sama ada penyokong BN akan mengundi PH pada PRN ini, Wei Kiat berkata, beliau yakin mereka akan menyokong.
"Kalau ikut data sebelum ini, undi di Rawang BN dapat 7,000 lebih.
"Saya percaya dalam 15 tahun ini penyokong BN adalah antara rakyat Selangor yang menerima manfaat daripada program PH. Mereka saksi polisi kejayaan program PH.
"Hari ini bertuah kita boleh bersama satu bumbung. Mereka perlu beri sokongan untuk teruskan agenda ini. PH ada kekuatan dan BN ada kekuatan sendiri untuk bawa pembangunan dan perubahan di Selangor.
"Hari ini kita di Selangor mahu negeri stabil. Lima tahun yang lepas hanya Selangor yang mengekalkan kestabilan (selepas Langkah Sheraton) dan kita fokus dengan pencapaian sedia ada," katanya.
Dalam sidang media itu juga, Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia itu memperkenalkan teknik berkempen beliau yang didapati lebih menarik minat pengundi muda dengan menyediakan pelbagai cenderamata.
"Kalau sebelum ini kita beri baju T, topi atau payung, tetapi hari ini anak muda lebih berminat dengan barangan lebih kreatif, lebih cantik dan design lebih menarik supaya boleh menarik perhatian mereka.
"Selain risalah, ada barangan sepanjanag kempen dalam 7 - 8 hari ini telah diedarkan seluasnya. Bukan sahaja di kawasan saya, ada permintaan sehingga Negeri Sembilan.
"Kita ada kipas, lencana, baju t khas dan beberapa cendermata.
"Apa perbezaannya? Reaksi dari orang ramai lebih suka yang ada design berbanding tidak ada design. Respons dari publik mereka minta, mereka mahu barangan ini.
"Ini nampak perbezaannya, kempen PH yang lebih fokus," katanya lagi.
Comments