Pengundi DUN Rantau mahu perubahan, Dr Hakim beri saingan sengit
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 3 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi (gambar) optimis mampu memberikan saingan sengit di kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan calonnya, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan dengan menawarkan agenda perubahan berpaksikan kebajikan keluarga, pemerkasaan ekonomi dan pembangunan anak muda.
Meskipun mengakui Rantau bukan antara kerusi tumpuan PH, beliau berkata keyakinan itu disandarkan kepada rekod pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sejak 2018 serta maklum balas positif yang diterima sepanjang tempoh berkempen.
"Kita bukan masuk bertanding sebagai calon Bebas atau atas kapasiti individu tetapi saya mewakili PH, sebuah gabungan yang kukuh yang mentadbir Negeri Sembilan sejak 2018.
"Kita bawa prestasi Kerajaan Negeri yang baik dan saya yakin ia turut dirasai oleh pengundi di Rantau. Jadi saya harap kita mampu memberi saingan dan mengapa tidak kita tukar Rantau daripada BN kepada Pakatan Harapan," katanya dipetik laporan media.
Azizul Hakim berkata sambutan pengundi sepanjang kempen juga amat menggalakkan walaupun beliau mengakui mustahil dapat menemui kesemua lebih 34,000 pengundi di kawasan itu.
"Daripada pagi sampai petang kita keluar bertemu rakyat, buat ziarah kasih dan turun ke tempat-tempat awam. Penerimaan setakat ini baik.
"Memang ada pandangan yang membina dan kita ambil itu secara positif. Sudah tentu setiap kawasan ada penyokong setia masing-masing tetapi majoriti yang saya temui tidak menunjukkan penolakan yang kuat. Sebaliknya ramai menyuarakan hasrat untuk melihat perubahan.
"Saya pastikan ada masa untuk bertemu seramai mungkin jemaah di masjid. Di situ pun kita dapat dengar suara yang rata-ratanya mahukan perubahan," katanya.
Beliau yang dikenali sebagai "doktor rakyat" berkata, program khidmat kesihatan percuma yang dilaksanakannya sejak 2022 turut membantu beliau mendekati masyarakat.
Katanya, walaupun kliniknya terletak di Paroi dan tidak menjangka akan bertanding di Rantau, pasukannya sudah beberapa kali menjalankan program saringan kesihatan percuma di beberapa kampung di kawasan itu sebelum PRN.
"Sebaik diumumkan sebagai calon di Rantau, kita teruskan program tersebut sambil berkempen," katanya.
Mengenai pengundi muda yang dianggarkan merangkumi antara 50 hingga 55 peratus daripada keseluruhan pengundi DUN Rantau, Azizul Hakim berharap golongan itu menjadi pemangkin kepada perubahan.
"Kita seorang yang muda dan harap pengundi muda memilih calon yang lebih dekat dengan mereka dari segi bahasa, minat dan pendekatan. Mudah-mudahan itu menjadi pemangkin kepada perubahan di Rantau," katanya.
Terdahulu dalam sidang medianya Azizul berkata sekiranya diberi mandat, beliau mahu membawa perubahan yang boleh dirasai rakyat dan bukannya sekadar menjanjikan pelbagai perkara ketika kempen.
Beliau berkata pendekatan itu akan diterjemahkan menerusi politik yang lebih matang dengan perbahasan berteraskan dasar demi memastikan pembangunan Rantau memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.
"Jika diberi mandat, fokus utama saya jelas, memastikan perubahan yang rakyat boleh rasa, bukan sekadar janji di atas kertas. Kita mahu hidupkan nafas baharu di Rantau dengan politik matang dan sihat.
"Kita mahu bincangkan idea yang bersifat dasar, bukan sekadar emosi semata-mata," katanya.
Menurut beliau agenda pembangunan Rantau akan dipacu menerusi tiga keutamaan utama iaitu memperkukuh institusi keluarga, memperkasa ekonomi tempatan dan meningkatkan kemahiran anak muda.
Azizul Hakim berkata aspek kebajikan keluarga perlu diberi perhatian berikutan Malaysia sedang menuju ke arah negara menua, sekali gus memerlukan sistem sokongan yang lebih baik kepada warga emas.
Di Rantau, Azizul Hakim memberikan komitmen untuk memastikan warga emas hidup lebih dihargai, wanita diberi lebih banyak peluang dan setiap keluarga menerima sokongan sewajarnya.
"Bagi saya, ukuran kejayaan sesebuah kawasan bukan hanya pada bangunan yang dibina, tetapi bagaimana kita menjaga manusia yang tinggal di dalamnya," katanya.
Dalam aspek ekonomi pula beliau berkata pembangunan perlu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, keusahawanan dan pengukuhan perniagaan kecil.
Beliau berkata kawasan seperti Pekan Rantau, Kuala Sawah, Kampung Seliau dan Kampung Bemban akan diberi perhatian, manakala Bandar Sri Sendayan terus diperkasakan sebagai hab pertumbuhan ekonomi.
"Ekonomi yang baik bukan sekadar menarik pelaburan besar, tetapi memastikan manfaatnya sampai kepada peniaga kecil, pekerja biasa dan keluarga di setiap kampung serta taman perumahan," katanya.
Mengenai pembangunan belia, Azizul Hakim berkata beliau mahu memastikan anak muda mempunyai laluan kerjaya yang lebih jelas melalui latihan kemahiran, program peningkatan kompetensi, peluang pekerjaan dan sokongan keusahawanan dengan memanfaatkan inisiatif seperti MyFutureJobs, TalentCorp dan HRD Corp.
Beliau turut bertekad menjadikan Bandar Sri Sendayan sebagai kawasan yang lebih mesra didiami melalui pembinaan lebih banyak rumah mampu milik, sistem pengangkutan yang berkesan serta penambahan kemudahan pendidikan.
Katanya, antara usaha yang dicadangkan ialah pelaksanaan Projek Rumah Harapan yang menawarkan rumah mampu milik berharga antara RM50,000 hingga RM150,000, dengan keutamaan diberikan kepada anak jati Sendayan.
"Kita tidak mahu anak muda Rantau hanya menjadi pencari peluang kerja di tempat lain tetapi bekerja dan tinggal di tempat yang mereka cintai. Kita mahu mereka melihat Rantau sebagai tempat untuk membina masa depan," katanya.




Comments