top of page

Pengundi DUN Pelangai mahu calon miliki ciri Johari



Oleh: Noraini Nordin


ANALISIS: Walaupun kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai belum lagi bermula, bahkan calon yang bertanding juga belum lagi diumumkan, tetapi suasana dan kemeriahan pilihanraya sudah mula dapat dirasakan.


Hari penamaan calon PRK Pelangai akan diadakan pada 23 September, manakala pengundian adalah pada 7 Oktober.


BN dilaporkan hanya akan mengumumkan calonnya pada 20 September ini, manakala PN belum lagi diketahui bila akan mengumumkannya.


Dalam tinjauan singkat Suara Keadilan di sekitar Pelangai hari ini, didapati beberapa poster lambang parti sudah mula dipasang (gambar atas) di beberapa tempat dan jalan tertentu.


Bilik Gerakan BN di Simpang Pelangai bahkan agak meriah dengan poster-poster dacing yang dipasang di sekitarnya.


Paling gembira pastilah peniaga-peniaga kecil yang bakal dilimpahi rezeki dengan kehadiran 'pengunjung luar' yang membantu kempen PRK Pelangai nanti.


Pengundi mahukan calon yang sesuai dan prihatin rakyat diletak di DUN Pelangai

Dalam perbualan dengan beberapa penduduk, rata-rata mereka agak seronok berbual mengenai pilihan raya kecil yang bakal tiba.


Mereka juga begitu ramah melayan perbualan daripada 'orang luar ' yang tidak dikenali yang ingin tahu tentang banyak perkara mengenai Pelangai.


Begitu juga dengan peniaga gerai makan yang dikunjungi, selain semuanya ramah tamah, mereka juga mudah diajak bersembang.


Apa saja pertanyaan, semua dijawab dengan jujur berdasarkan sejauh mana pengetahuan mereka mengenai sesuatu perkara yang ditanya itu.


Ada juga beberapa penduduk yang ditemui dan apabila ditanya tentang pilihan mereka pada PRK nanti, langsung tidak teragak-agak memberi jawapan.


Begitu pun, rata-rata yang ditemui menyanjung tinggi kebaikan ADUN BN sebelum ini, Allahyarham Datuk Johari Harun yang meninggal dunia dalam kemalangan pesawat di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.


Mereka menyifatkan Allahyarham sebagai wakil rakyat yang sangat baik dan sentiasa prihatin kepada keperluan pengundi Pelangai.


Berdasarkan petunjuk tersebut, di samping Allahyarham Johari memenangi kerusi DUN Pelangai pada PRU15 lalu dengan majoriti 4,048 undi, realitinya tiada masalah untuk BN mampu mempertahankannya pada PRK 7 Oktober akan datang nanti.


Kunci utama ialah calon BN daripada UMNO yang dipilih itu mestilah seorang yang disukai pengundi, mudah mesra dan senang didekati.


Pengundi berterus terang mahukan calon yang dipilih oleh UMNO mewakili Kerajaan Perpaduan memiliki ciri Allahyarham Johari. Sifat pemurah serta amat menjaga kebajikan pengundi DUN Pelangai.


Jika pemilihan calon tepat, kejayaan menawan hati pengundi menjadi lebih mudah.


Tambahan lagi, dengan kesepakatan BN dan PH yang wujud ketika ini, hakikatnya tidaklah terlalu sukar untuk BN mempertahankan kerusi Pelangai dengan kemenangan bergaya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page