
Pengundi di P115 Batu dinasihatkan untuk menyokong calon berasaskan parti pada Pilihan Raya Umum ke 15 ini.
Menurut penyandang kerusi parlimen Batu, P Prabakaran, hal itu penting bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) menang di Batu untuk mewujudkan kerajaan yang stabil.
Beliau berkata demikian mengulas rekod pertandingan 10 penjuru di Batu, termasuk dicabar oleh mantan ahli parlimen Tian Chua.
"Tian Chua topik panas. Batu pula ada rekod baru 10 penjuru. Untuk pertama kali dalam sejarah.
"Dalam masa sama saya menasihati pengundi jangan hanya tengok muka tetapi tengok juga parti. Sebab kalau nak tubuh satu kerajaan yang stabil, yang akan mewakili masyarakat Malaysia kita kena ada kestabilan.
"Saya beritahu mengundi seluruh Malaysia undilah PH. Kita nak pentadbiran yang berkualiti dengan pemimpin berkualiti," katanya kepada Suara Keadilan.
Berkenaan tindakan bekas Naib Presiden KEADILAN yang bertanding sebagai calon Bebas di Batu beliau melahirkan rasa kecewanya kerana nama besar era reformasi itu tidak wajar berbuat demikian dan menolak ke tepi perjuangan beliau selama ini.
"Berkaitan dengan Tian saya kecewa. Walau pun saya ada perbincangan dengan (orang orang) Tian, beliau tidak setuju untuk tidak tanding. Dia mahu bertanding.
"Sesetengah anggota parti seperti Sivarasa, mereka rela tidak bertanding dan menyokong PH. Untuk Tian dia masih mahu bertanding.
"Saya harap Tian, masih ada masa untuk tarik diri dari pencalonan. Dengan dia bertanding di sini dia akan memecahkan undi dan jika dia pecahkan undi maka ada masalah," katanya.
Bagaimanapun Praba menolak majoriti pengundi Cina akan menyokong Tian kerana katanya dalam lawatan ke komuniti Cina mereka amat sedar tentang masalah politik negara dan perlunya perubahan kerajaan.
"Saya dengar banyak khabar angin kata Tian akan tarik pengundi Cina, saya nak beritahu saya dah lawat beberapa kawasan pengundi Cina dan mereka sedar masalah parlimen Batu, dan mereka mengatakan ini bukan isu calon, ini lebih kepada isu negara.
"Komuniti Cina akan mengundi PH. Saya rasa pecah undi (jika berlaku) bukan besar," katanya.