Berbaki 2 hari sebelum mengundi pelbagai kajian mengenai mood pengundian rakyat Malaysia diterbitkan oleh pelbagai agensi.
Namun Institut Darul Ehsan (IDE) memilih untuk tidak menetapkan berapa banyak kerusi yang akan dimenangai oleh setiap gabungan yang bertanding dalam sidang media mereka semalam, tetapi lebih tertumpu kepada isu dan asas sokongan pengundi.
Menurut CEO IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, pola pengundian kali ini didapati agak unik dengan terdapatnya golongan yang hanya akan membuat keputusan pada hari mengundi, terutama dalam kalangan generasi muda berumur antara 18 hingga 29 tahun.
Kelompok itu katanya, mewakili 18.2% dan agak besar untuk menentukan pemenang di kawasan marginal.
Manakala kata beliau, sebagaimana sejarah pilihan raya Malaysia sebelum ini, golongan Atas Pagar hampir pasti menentukan siapakah pemenang sebenar dalam PRU 15 ini.
"Keprihatian mereka, golongan Atas Pagar ini adalah ketidakstabilan politik, rasuah dan peningkatan harga barang.
"Mereka ini akan keluar mengundi dan teruja untuk mengundi. Mereka prihatin dengan perkembangan yang berlaku," katanya.
Tambah Redzuan, mana mana parti yang berkempen mengikut naratif pemikiran Atas Pagar tersebut diyakini akan mendapat undi daripada mereka.
Selain itu, beliau juga mempamerkan fakta kajian mengenai populariti tokoh tokoh yang dianggap boleh dicalonkan sebagai Perdana Menteri.
Katanya, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati mengungguli senarai.
"Ada kencenderungan melihat alternatif kepada PM semasa. Kajian ini kita buat pada Oktober lalu. Sekarang saya yakin keadaan telah berubah.
"Parti pula agak seimbang dengan PH mendahului tetapi kita lakukan ini pada Oktober lalu. Pengumuman calon belum diumumkan lagi," katanya.
Berkenaan calon pula, menurut Redzuan, kawasan yang telah diketahui calonnya lebih awal mempunyai kelebihan.
Bagaimanapun, ujarnya, pengundi tetap membuat pilihan sekiranya parti menawarkan calon lebih baik.
"Faktor calon dan parti nampaknya dua perkara penting. Mereka tengok apa yang parti tawarkan.
"Keadaan berbeza setelah penamaan calon. Kalau kawasan seperti Gombak yang telah tahu calon. 30% kata calon itu akan menentukan mereka membuat keputusan
"Bagi kawasan diletakkan calon luar, kita dapati yang menajdi tumpuan mereka adalah parti. Jadi ada perbezaan antara tempat," katanya lagi.
Commentaires