Keputusan kerajaan untuk menyerap doktor kontrak ke dalam perkhidmatan tetap Kementerian Kesihatan Malaysia dalam tempoh 3 tahun ini telah menjawab fitnah sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan tidak serius menangani isu doktor kontrak.
KEADILAN Cabang Kemaman berkata, langkah itu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam membuktikan komitmen kerajaan menyelesaikan isu doktor kontrak yang sudah berlarutan sejak setengah dekad.
"Sebelum ini terdapat beberapa pihak cuba menangguk di air keruh dengan cuba melancarkan mogok sebagai tanda protes terhadap kerajaan berhubung isu ini.
"Namun begitu usaha tersebut tidak mendapat sambutan, komitmen tinggi pihak KKM dan juga kerajaan menyelesaikan masalah ini harus dipuji," kata kenyataan itu.
Semalam pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Perdana Menteri berkata sebanyak 4,300 doktor kontrak diserap ke jawatan tetap pada tahun ini.
Kerajaan jelasnya sedang berusaha menyelesaikan isu dibangkitkan golongan itu dengan melaksana penyerapan ke perjawatan tetap tahun demi tahun melibatkan seramai 12,800 doktor kontrak.
Sementara itu, KEADILAN Kemaman menggesa pihak yang cuba meraih populariti murahan dengan menimbulkan pelbagai persepsi buruk kepada pihak KKM dan kerajaan berhubung isu tersebut supaya menghentikan perbuatan berkenaan.
Tindakan itu tegas mereka tidak ubah seperti menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan yang merosakkan keharmonian dan keutuhan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia ini.
"Jadilah pihak yang bertanggungjawab dan sama-sama membantu untuk menyelesaikan masalah rakyat," kata kenyataan itu lagi.
Comments