Pengumuman PM beri manfaat rentasi pelbagai lapisan pekerja
- Suara Keadilan

- 3 minutes ago
- 2 min read

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan (gambar) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 semalam yang disifatkan sebagai langkah menyeluruh dalam memastikan hasil pertumbuhan ekonomi negara dapat dirasai secara langsung oleh seluruh rakyat, khususnya golongan pekerja.
Ramanan berkata, pengumuman tersebut amat signifikan kerana manfaatnya tidak tertumpu kepada satu kelompok tertentu, sebaliknya merangkumi pelbagai lapisan tenaga kerja termasuk pekerja berpendapatan rendah dan sederhana, pekerja gig, golongan bekerja sendiri, peniaga dan penjaja kecil, wanita yang menjana pendapatan dari rumah serta golongan belia.
"Pengumuman Perdana Menteri ini jelas memperlihatkan prinsip bahawa pertumbuhan ekonomi negara mesti akhirnya diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.
"Bagi saya sebagai Menteri Sumber Manusia, perkara paling penting ialah bagaimana kekuatan ekonomi negara dapat dirasai oleh pekerja dalam kehidupan seharian mereka, sama ada melalui pengurangan tekanan kos sara hidup, peningkatan kemahiran, peluang menjana pendapatan atau sokongan kepada mereka yang bekerja sendiri," katanya.
Antara langkah yang diumumkan ialah peningkatan semula kelayakan asas BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan, yang bakal memberi manfaat kepada lebih 16 juta pengguna, selain kemudahan BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan kepada lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak.
Menurut Ramanan, langkah itu penting kepada golongan pekerja yang bergantung kepada kenderaan untuk berulang-alik ke tempat kerja, selain mereka yang menggunakan kenderaan sebagai sebahagian daripada aktiviti pekerjaan dan mencari pendapatan.
Beliau turut menyambut baik pengumuman program AI untuk rakyat yang menyasarkan 100,000 belia berusia antara 18 hingga 30 tahun, dengan mereka yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI terkemuka secara percuma selama tiga bulan.
"Seperti yang saya selalu tegaskan, dunia pekerjaan sedang berubah dengan sangat pantas. AI, automasi dan digitalisasi bukan lagi perkara untuk masa hadapan, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada pasaran pekerjaan hari ini.
"Justeru, membuka akses kepada teknologi AI kepada 100,000 anak muda merupakan pelaburan penting untuk mempersiapkan bakat Malaysia dengan kemahiran yang relevan dan memastikan mereka tidak ketinggalan dalam perubahan landskap pekerjaan global, seperti Program Jelajah AI MYMahir yang menyediakan latihan AI secara percuma kepada lebih 22 ribu rakyat Malaysia dengan peruntukan hampir RM110 Juta melalui Talent Corp” katanya.
"Mereka semua adalah sebahagian daripada kekuatan ekonomi Malaysia dan mereka tidak boleh tercicir daripada perhatian serta dasar kerajaan," katanya.
Ramanan berkata pendekatan tersebut juga selari dengan usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk membangunkan pasaran buruh yang lebih inklusif, meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta memastikan perubahan ekonomi dan teknologi membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.
"Semangat kemerdekaan mesti diterjemahkan kepada kehidupan rakyat. Seorang pekerja harus mempunyai peluang untuk meningkatkan pendapatan, seorang anak muda harus mempunyai kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, dan mereka yang bekerja sendiri harus mempunyai ruang untuk terus berkembang.
"Inilah makna pembangunan yang inklusif apabila kemajuan negara tidak meninggalkan sesiapa di belakang dan hasil pertumbuhan ekonomi dikembalikan kepada rakyat,” katanya.
"Saya yakin dengan kepimpinan YAB Perdana Menteri dan kerjasama seluruh jentera kerajaan, kita mampu membina sebuah Malaysia yang lebih produktif, berkemahiran tinggi dan sejahtera, dengan setiap pekerja diberikan peluang untuk menikmati hasil kemajuan negara," katanya.




Comments