Pengukuhan ringgit petanda ekonomi pulih, keyakinan pelabur tinggi
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pengukuhan ringgit Malaysia berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ke paras sekitar 3.97 sekaligus mencatatkan tahap tertinggi sejak Jun 2018, menggambarkan keyakinan masyarakat dunia terhadap Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young berkata, perkembangan positif itu mencerminkan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kestabilan dasar, potensi ekonomi dan keupayaan tadbir urus negara.
Pada masa yang sama ujarnya, ia mengingatkan rakyat Malaysia bahawa hanya melalui reformasi berterusan serta pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab, negara dapat mencapai hasil yang mampan dalam jangka panjang.
"Di bawah pimpinan Malaysia MADANI, negara sedang memperkukuh asasnya, melangkah ke hadapan dengan penuh berhemah dan keyakinan.
"Prestasi ringgit hari ini adalah satu permulaan, bukan pengakhiran. Selagi kita terus berada di landasan yang betul, masa depan negara sememangnya penuh harapan," katanya dalam satu kenyataan.

David Cheong menyifatkan, pencapaian berkenaan tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya merupakan hasil gabungan pelbagai faktor yang positif seperti pasaran antarabangsa menunjukkan keyakinan tinggi terhadap peranan Malaysia dalam rantaian bekalan kecerdasan buatan (AI).
Seiring dengan transformasi pesat industri teknologi global, katanya Malaysia semakin memperkukuh kedudukannya dalam bidang semikonduktor, pusat data dan pembuatan berteknologi tinggi sekaligus menarik kemasukan pelaburan asing berkualiti.
Beliau berkata, perkembangan itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan negara dalam ekosistem teknologi serantau, malah menyuntik momentum yang stabil kepada pertumbuhan ekonomi jangka sederhana.
"Pada masa yang sama, asas ekonomi domestik kekal kukuh. Permintaan domestik yang berdaya tahan dan sektor pelancongan terus pulih dan berkembang bersama-sama menyokong pertumbuhan ekonomi keseluruhan.
"Peningkatan eksport teknologi dan peluasan pesat sektor pusat data turut meningkatkan keyakinan pelabur terhadap prospek masa depan Malaysia.
"Lebih penting, semua perkembangan ini berlaku dalam kerangka tadbir urus Malaysia MADANI yang dipacu di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Penekanan terhadap tadbir urus yang baik, reformasi institusi, persekitaran mesra pelaburan serta keadilan sosial sedang secara beransur-ansur membina semula kepercayaan domestik dan antarabangsa terhadap Malaysia," katanya yang juga Ketua Biro Perpaduan Nasional KEADILAN Selangor.
Tegas David lagi, reaksi positif pasaran kewangan pada waktu ini juga merupakan maklum balas langsung terhadap hala tuju negara yang jelas dalam sektor teknologi, kewangan dan politik yang stabil.









Comments