top of page

Pengukuhan ringgit cerminan keyakinan pelabur, kekuatan modal insan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Pengukuhan nilai ringgit mencerminkan gambaran menyeluruh terhadap tahap keyakinan pelabur, kestabilan dasar negara, kekuatan institusi serta keupayaan modal insan Malaysia.


Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri R Ramanan (gambar) berkata, Kerajaan MADANI di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengangkat agenda reformasi ekonomi yang berteraskan ketelusan, integriti, pelaburan berkualiti dan pembangunan insan, sekali gus membina semula keyakinan terhadap ekonomi negara.


Bagaimanapun jelasnya, sejarah dan realiti ekonomi membuktikan bahawa keupayaan sesebuah negara mengekalkan kekuatan mata wang juga banyak dipengaruhi oleh tahap produktiviti buruh, kemahiran tenaga kerja serta amalan tadbir urus yang telus dan berintegriti.


"Pengukuhan nilai ringgit bukan sekadar mencerminkan pergerakan pasaran kewangan atau sentimen jangka pendek ekonomi global.


"Dalam konteks ini, kementerian memainkan peranan strategik sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan negara.


"KESUMA akan memberi penekanan kepada latihan kemahiran berimpak tinggi, peningkatan kebolehpasaran graduan TVET, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penguasaan kemahiran digital serta adaptasi teknologi baharu selari dengan keperluan industri masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.


Sementara itu tambahnya, pendekatan yang bakal digerakkan bakal melahirkan tenaga kerja yang mahir dan berdaya saing, malah bersedia mendepani cabaran ekonomi global yang semakin kompleks.


"Kerajaan MADANI tidak mahu sebuah ekonomi yang hanya kukuh dari sudut angka dan statistik semata-mata, tetapi sebuah ekonomi yang benar-benar memberi manfaat secara langsung kepada rakyat melalui gaji yang lebih baik, peluang pekerjaan berkualiti, perlindungan sosial yang menyeluruh serta jaminan masa depan yang lebih terjamin khususnya untuk generasi muda.


"Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan produktiviti dan pendapatan rakyat, malah memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti di peringkat antarabangsa.


"Agenda ini menjadi asas penting dalam membina semula keyakinan terhadap ekonomi negara dan seterusnya menyumbang kepada pengukuhan kedudukan ringgit," tambahnya.


Ramanan menerusi kenyataan tersebut turut menyatakan keyakinan, dengan semangat Malaysia MADANI, kepimpinan yang berprinsip serta kerjasama padu seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang, Malaysia akan mampu melangkah lebih jauh sebagai sebuah negara yang makmur, inklusif dan berdaya tahan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page