Pengukuhan ringgit berterusan bukti pengurusan kewangan PM cemerlang
- 4 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Nilai ringgit semakin perkasa apabila melonjak ke paras RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Pencapaian terbaik dalam hampir lapan tahun itu memberi isyarat jelas bahawa ekonomi Malaysia kembali diyakini komuniti kewangan global di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Datuk Seri Fauzi berkata, prestasi memberangsangkan itu mencerminkan kejayaan PM Anwar memimpin kerajaan, khususnya dalam konteks memastikan kestabilan politik dan hala tuju dasar ekonomi yang konsisten.
Kata Farhan, langkah mengurus perbelanjaan negara secara berdisiplin, membanteras ketirisan dan memperkukuh tadbir urus telah membantu mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada pelabur serta komuniti perniagaan.
"Bagi rakyat marhaen yang bekerja keras menyara keluarga, pengukuhan ringgit membawa impak positif yang nyata dalam kehidupan harian. Nilai mata wang yang lebih kukuh membantu meringankan (mengurangkan) kos import barangan keperluan asas serta menyumbang kepada kestabilan harga.
"Keadaan ini memberi ruang kepada kerajaan untuk terus memperluas bantuan dan perlindungan sosial tanpa menambah beban kewangan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas Farhan, pengukuhan berterusan nilai ringgit bukanlah kebetulan tetapi ianya mesej yang amat jelas bahawa dasar ekonomi yang dilaksanakan PMX secara bijaksana, konsisten dan berintegriti telah memulihkan keyakinan, serta membawa manfaat langsung kepada rakyat.
"Pengukuhan ini bukan sekadar angka di pasaran kewangan, tetapi gambaran jelas bahawa usaha kerajaan hari ini, di bawah kepimpinan cemerlang PM telah mula membuahkan hasil yang nyata," katanya.
Dalam pada itu, Farhan menyentuh keyakinan pelabur asing dalam membuka lebih banyak kilang di negara ini dan menambah peluang pekerjaan dalam sektor-sektor penting tanah air.
"Keyakinan pelabur asing yang semakin meningkat membuka peluang pekerjaan baharu dan menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor-sektor penting seperti teknologi, pembuatan lanjutan dan tenaga boleh diperbaharui.
"Apabila lebih banyak syarikat antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan, maka lebih luas peluang ekonomi yang tersedia bagi anak muda dan usahawan tempatan," katanya lagi.
Untuk rekod, nilai ringgit telah mengukuh bukan sahaja berbanding dolar AS tetapi matawang serantau sejak awal 2026. Pengukuhan itu berterusan sehingga Februari disemarakkan faktor ketidakstabilan global berhubung krisis di rantau Timur Tengah dan ekonomi dunia yang diramal tidak menentu sekiranya tercetus perang pada suku kedua tahun ini.





