top of page

Pengukuhan Ringgit bantu tangani kos sara hidup, rangsang ekonomi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 10 hours ago
  • 2 min read

Kejayaan Kerajaan Madani yang berjaya mengawal kenaikan kos sara hidup, meningkatkan nilai Ringgit dan menurunkan kadar inflasi mendapat pujian Wanita KEADILAN Pusat.


Ketua Penerangan Wanita KEADILAN, Datuk Ginie Lim berkata, pengukuhan nilai Ringgit yang kini berada di bawah paras RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat merupakan kejayaan hebat yang tidak mampu dilakukan oleh pentadbiran Perdana Menteri ke 7, 8 dan 9 sejak sedekad lalu.


"Pergerakan Ringgit di bawah paras RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat berlaku lebih pantas daripada jangkaan, malah mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun, menjadikannya mata wang berprestasi terbaik di Asia ketika ini," katanya dalam kenyataan petang ini.

Datuk Ginie Lim
Datuk Ginie Lim

Menurut beliau, pencapaian tersebut adalah hasil daripada usaha konsisten Kerajaan MADANI dalam memastikan tadbir urus yang baik, mengekalkan hala tuju ekonomi negara ke arah menggalakkan pelaburan dan memastikan kestabilan politik, serta keyakinan pelabur yang tinggi.


Selain itu, Ginie Lim berkata, nilai Ringgit yang lebih kukuh membantu mengawal kos import barangan serta mengekang tekanan inflasi, sekali gus memberi kelegaan kepada rakyat dan peniaga tempatan.


"Dengan pengukuhan Ringgit, kos import barangan dan kadar inflasi menjadi lebih terkawal, sementara sentimen positif terhadap ekonomi tempatan dijangka akan terus merangsang pelaburan asing dan mengukuhkan pasaran tempatan," katanya.


Sehubungan itu, Wanita KEADILAN menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan MADANI dalam membanteras rasuah dan memperkukuh kecekapan pentadbiran bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta inklusif.


"Wanita KEADILAN menyokong usaha Kerajaan MADANI dalam membanteras rasuah serta memperkukuh kecekapan pentadbiran bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan dan inklusif," katanya lagi.


Untuk rekod, pada Jumaat, ringgit menembusi paras psikologi 4.00 berbanding dolar AS apabila mencecah paras tertinggi 3.9992.


Kali terakhir ringgit berada pada paras tersebut adalah pada 18 Jun 2018, iaitu pada 3.9960/9990.


Prestasi ringgit juga mengukuh berbanding sekumpulan mata wang utama, apabila meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5337/5361 daripada 2.5637/5670 pada minggu sebelumnya, mengukuh berbanding euro kepada 4.6993/7034 daripada 4.7076/7134, serta menokok berbanding pound Britain kepada 5.4177/4224 daripada 5.4332/4399.


Di peringkat serantau, ringgit mencatatkan pengukuhan berbanding baht Thailand kepada 12.8362/8544 daripada 12.9115/9332, serta lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.1302/1330 daripada 3.1479/1521.


Mata wang tempatan juga mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 238.0/238.3 daripada 240.1/240.5 minggu lalu dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.77/6.78 daripada 6.83/6.84 sebelum ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page