Pengukuhan pendidikan TVET, STEM persediaan jadi negara berteknologi tinggi
- Suara Keadilan
- Apr 29
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pengukuhan pendidikan teknikal dan sains berupaya mempertingkatkan daya saing tenaga kerja tempatan sekali gus memberi laluan kepada lebih ramai anak muda, khususnya dari luar bandar untuk menyertai sektor ekonomi bernilai tinggi.
Bagi Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari, inisiatif Kerajaan MADANI untuk memperkasa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan memperkenalkan program microcredentials serta memperluas kerjasama dengan industri adalah langkah yang sangat strategik dan perlu didukung oleh semua pihak.
Katanya, sebagai seorang wakil rakyat di Kedah, beliau beriltizam untuk mendukung usaha tersebut di peringkat akar umbi bagi membuka lebih banyak ruang kepada belia di Sungai Petani.
''Masa depan Malaysia bukan ditentukan oleh perdebatan kosong, tetapi oleh pelaburan dalam potensi rakyatnya.
''Kita mesti berani bergerak ke hadapan dengan visi yang jelas dan tindakan yang berkesan.
''Malaysia tidak boleh terus hanyut dalam pertelagahan yang memecahbelahkan rakyat.
''Sebaliknya, kita mesti bersatu dalam misi membina kemakmuran bersama berteraskan ilmu dan inovasi,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Taufiq berkata, beliau menyambut baik dan menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keperluan memperkukuhkan kapasiti TVET serta penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan anak muda negara.
Katanya, pendekatan holistik tersebut bertepatan dengan keperluan masa hadapan, kerana menurut World Economic Forum, menjelang tahun 2025, 50% daripada semua pekerja akan memerlukan reskilling. Manakala 85 juta pekerjaan sedia ada mungkin digantikan oleh teknologi baru.
Tegasnya, Malaysia peru bersedia memasuki dekad itu dan bersatu dalam misi membina kemakmuran bersama berteraskan ilmu pengetahuan dan inovasi.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Sungai Petani menyifatkan, kebangkitan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berdaya tahan hanya akan tercapai dengan pelaburan strategik dalam mengembangkan bakat dan kemahiran rakyat.
''Usaha untuk meningkatkan akses dan kualiti TVET dan STEM, terutama dalam bidang kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan, harus dipertingkatkan lagi seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri,'' katanya lagi.
Comments