top of page

Penguasaan Bahasa Melayu perlu diutamakan sebelum UEC diiktiraf - Abun Sui

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 54 minutes ago
  • 2 min read
ree

Pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa penguasaan Bahasa Melayu mesti didahulukan sebelum sebarang cadangan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dipertimbangkan oleh kerajaan disokong penuh oleh Senator Abun Sui Anyit (gambar).


Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak itu, pendirian berkenaan selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, sekali gus perlu dipertahankan demi identiti serta perpaduan nasional.


"Saya menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa penguasaan Bahasa Melayu adalah keutamaan sebelum sebarang cadangan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dipertimbangkan oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.


Abun Sui menegaskan kedudukan Bahasa Melayu tidak boleh diketepikan dalam mana-mana dasar pendidikan atau permohonan pengiktirafan sijil, memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum yang disatukan oleh satu bahasa nasional.


"Pendirian Perdana Menteri adalah tepat kerana ini adalah Malaysia, dan bahasa kebangsaan tidak boleh dipinggirkan dalam apa jua dasar pendidikan atau permohonan pengiktirafan sijil," ujarnya.


Beliau turut memberi peringatan bahawa pengiktirafan kelayakan pendidikan tanpa syarat penguasaan Bahasa Melayu boleh membuka ruang kepada tuntutan lain yang berpanjangan.


"Jika kita mula mengiktiraf mana-mana kelulusan tanpa syarat penguasaan Bahasa Melayu, ia akan membuka ruang kepada pelbagai tuntutan lain yang serupa atau hampir serupa," katanya.


Menurut Ketua Cabang KEADIAN Hulu Rajang itu, situasi sedemikian berpotensi menjejaskan keselarasan dasar pendidikan negara serta memberi kesan negatif terhadap perpaduan rakyat.


"Keadaan ini boleh menimbulkan isu yang berpanjangan dan boleh menggugat keselarasan dasar pendidikan negara," jelasnya.


Abun Sui menegaskan Bahasa Melayu merupakan asas penyatuan rakyat Malaysia dan penguasaannya wajar dijadikan prasyarat utama bagi mana-mana sistem atau kelayakan pendidikan yang ingin diiktiraf negara.


"Penguasaan Bahasa Melayu wajib dijadikan prasyarat bagi mana-mana sistem atau kelayakan pendidikan yang ingin diiktiraf oleh negara, agar jalan ke arah perpaduan nasional sentiasa terpelihara," kata beliau lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page