Ketua Pemuda UMNO patut amalkan politik beradab - Eddiarman
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Melaka, Eddiarman Mohd Yunos menegur kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh ADUN Merlimau merangkap Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Salleh, yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut beliau, kenyataan yang menggunakan perkataan “bodoh” serta ungkapan “lebih baik melalak mempertahankan agama daripada berbohong” menimbulkan persoalan sama ada ianya ditujukan kepada Perdana Menteri Malaysia.
"Jika benar kenyataan tersebut ditujukan kepada Perdana Menteri, ia merupakan pendekatan yang tidak wajar dan tidak mencerminkan adab serta budaya politik matang yang sepatutnya diamalkan oleh seorang pemimpin muda," katanya dalam satu kenyataan.
Eddiarman berkata, perbezaan usia dan pengalaman antara kedua-dua pemimpin seharusnya menjadi asas kepada penghormatan terhadap kepimpinan serta institusi negara.
"Dalam tradisi masyarakat Melayu dan nilai Islam yang sering dilaungkan, adab terhadap orang yang lebih tua dan terhadap institusi kepimpinan negara adalah perkara asas yang tidak boleh diketepikan," ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa sebagai seorang ADUN dan Ketua Pemuda sebuah parti politik Melayu utama, Akmal seharusnya menunjukkan teladan kepimpinan berhemah kepada generasi muda.
Mengulas dakwaan berhubung isu “pembohongan”, Eddiarman menuntut penjelasan yang berfakta daripada Akmal berhubung perkara tersebut.
"Apakah bentuk pembohongan yang dimaksudkan? Sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelbagai inisiatif kebajikan telah diperkenalkan termasuk bantuan melalui program MySARA dan MyKasih, kawalan subsidi bersasar serta pengukuhan usaha membanteras rasuah melalui tindakan tegas agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya.
Beliau mempersoalkan sama ada usaha membantu golongan rentan, memperkukuh integriti dan menstabilkan ekonomi negara itu dianggap sebagai satu pembohongan.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar politik negara kembali kepada landasan hujah, fakta dan adab.
"Rakyat memerlukan kepimpinan yang matang, bukan retorik yang memecah-belahkan," kata Eddiarman lagi.




Comments