top of page

Pembangkang cakap berdegar PM dua penggal tapi enggan sokong RUU

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Mar 3
  • 2 min read

Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan kegagalan Rang Undang-Undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal memperoleh majoriti dua pertiga sebagai bukti ketidakselarasan pendirian pembangkang dalam isu reformasi institusi.


Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim (gambar) berkata cadangan tersebut merupakan satu reformasi besar memperkukuh prinsip semak dan imbang yang tidak patut ditolak pembangkang.


"Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal adalah satu reformasi besar yang bertujuan memodenkan sistem politik negara serta memperkukuh prinsip semak dan imbang.


"Namun, kegagalan Rang Undang-Undang tersebut memperoleh majoriti dua pertiga mendedahkan satu realiti yang jelas iaitu wujudnya sikap tidak konsisten dalam kalangan pembangkang," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, selama ini pembangkang lantang menuntut pembaharuan, integriti dan pencegahan penumpuan kuasa, namun apabila peluang sebenar untuk mengehadkan kuasa eksekutif dibentangkan di Parlimen, sebahagian mereka memilih untuk berkecuali, tidak hadir atau meletakkan syarat politik yang tidak berkaitan.


"Ini bukan pendirian prinsip malah ini adalah percaturan politik," tegasnya.


Wan Anwar turut menolak dakwaan bahawa had dua penggal akan menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong, sambil menegaskan bahawa prerogatif pelantikan Perdana Menteri kekal di bawah kuasa Seri Paduka Baginda dan sokongan majoriti Dewan Rakyat tetap menjadi asas legitimasi kerajaan.


"Had tempoh hanya memastikan jawatan tertinggi eksekutif tidak dipegang tanpa batas masa yang mana selaras dengan amalan demokrasi matang di banyak negara," jelasnya.


Beliau berkata lebih ironik apabila ada pihak yang sebelum ini menggesa reformasi institusi dan had tempoh jawatan, namun kini menukar pendirian apabila cadangan itu dibentangkan oleh kerajaan semasa pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Datuk Seri Anwar telah menunjukkan kesediaan untuk membataskan kuasa jawatan yang sedang beliau pegang yakni satu langkah yang jarang berlaku dalam politik negara. Ini adalah mesej jelas bahawa sistem perlu lebih kuat daripada individu," katanya.


Menurut Wan Anwar lagi, Malaysia tidak boleh terus terperangkap dalam politik lama yang mempertahankan struktur usang demi kepentingan jangka pendek, sebaliknya memerlukan sistem politik yang lebih telus, bertanggungjawab dan dinamik.


"Sejarah akan mencatat siapa yang benar-benar berjuang untuk memodenkan demokrasi negara, dan siapa yang memilih untuk mengekalkan status quo," katanya.


Untuk rekod, pengundian semalam menunjukkan Kerajaan Perpaduan hampir mendapat majoriti 2/3 yang diperlukan. Terdapat beberapa Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir menyebabkan keputusan tipis hanya dua undi menafikan majoriti.


Sekiranya dua atau lebih Ahli Parlimen pembangkang menyokong RUU berkenaan maka negara akan mencatat sejarah yang mana jawatan PM hanya dihadkan selama dua penggal.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page