top of page

Penguasaan bahasa kebangsaan syarat wajib mohon jadi warganegara kekal

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Dec 12, 2023
1 min read


Oleh: Abdullah Zaid


Kementerian Dalam Negeri (KDN) kekal menegaskan penguasaan bahasa Melayu adalah syarat wajib bagi permohonan taraf kewarganegaraan.


Timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, beberapa proses saringan dilaksanakan dalam perkara itu, antaranya ujian bertulis serta temu duga secara lisan dan bersemuka melalui ujian pengetahuan bahasa Melayu terhadap pemohon.


"Sebagaimana disyaratkan dalam Perlembagaan Persekutuan, pemohon kewarganegaraan bawah Perkara 16 hendaklah mempunyai tahap pengetahuan asas bahasa Melayu, manakala pemohon kewarganegaraan bawah Perkara 19 pula hendaklah mempunyai pengetahuan mencukupi dalam bahasa Melayu.


"Ini bermakna tahap penguasaan bahasa Melayu bagi pemohon taraf kewarganegaraan, diberi keutamaan kerana syarat itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam sidang Dewan Negara, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Abdul Nasir Idris mengenai sejauh mana tahap penguatkuasaan bahasa Melayu diberi perhatian untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan.


Mengulas lanjut, Shamsul Anuar memaklumkan setakat November lalu, sebanyak 32,000 permohonan kewarganegaraan diterima Kementerian Dalam Negeri (KDN).


"Setakat Oktober lalu, KDN mengeluarkan sebanyak 10,381 keputusan permohonan kewarganegaraan dan jumlah ini melepasi sasaran ditetapkan setiap tahun, iaitu sebanyak 10,000," katanya.


Terdahulu Suara KEADILAN melaporkan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kebanyakan permohonan yang ditolak terutama golongan warga emas adalah kerana tidak melepasi ujian penguasaan Bahasa Melayu.


Jelasnya, Kementerian pada ketika ini meletakkan standard permarkahan lapan mata sebagai lulus manakala satu mata pula dikategorikan gagal.


Tambahnya, sekiranya permohonan boleh menyebut 'terima kasih' juga boleh dikategorikan sebagai lulus.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page