Timbalan Pengerusi Biro Guaman dan Aduan Awam KEADILAN Pulau Pinang, Darwin Lim Chee Chien memuji keputusan Dewan Undangan Negeri dalam menerima usul pengosongan empat kerusi Ahli Dewan Undang Negeri (DUN) yang telahpun melompat parti.
Menurut Chee Chien, usul yang dikemukakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin untuk mengosongkan 4 kerusi DUN tersebut adalah berpatutan dan sah di sisi undang-undang Malaysia.
"Usul dan keputusan DUN tersebut menunjukkan usaha Pakatan Harapan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mempertahankan sistem demokrasi di negara kita.
"Wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya tidak patut mengkhianati mandat rakyat dengan melompat ke parti lain. Keputusan pengosongan 4 kerusi DUN tersebut adalah penting bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap wakil rakyat yang dipilih,” katanya.
Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang itu turut mengritik kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Dominic Lau yang menyatakan demokrasi di Negeri Pulau Pinang sudah mati.
Kenyataan tersebut, katanya tidak benar sama sekali. Hakikatnya, demokrasi di Pulau Pinang semakin diperkuat dengan tindakan mengosongkan ADUN-ADUN yang telah mengkhianati mandat rakyat.
"Usul tersebut selaras dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang," katanya lagi.
Chee Chien juga berkata, Dewan Undangan Negeri telah membuat keputusan yang selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Georgetown pada Khamis lepas yang telah menolak permohonan empat ADUN berkenaan bagi mendapatkan injunksi menghalang DUN Pulau Pinang daripada membentangkan usul mengosongkan 4 kerusi tersebut.
Ketua Penerangan Cabang Batu Kawan itu memperingatkan Dominic Lau dan 4 ADUN yang telah melompat supaya jangan mencabar Perlembagaan Persekutuan dan Perlembangaan Negeri.
"Mereka yang terlibat harus insaf terhadap tindakan mereka yang telah mengkhinati mandat rakyat dan bukannya membuat tuduhan kosong yang akan merosakkan nama baik Dewan Undang Negeri," katanya lagi.
Comments