
Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, anggota KEADILAN akan sekali lagi perlu mengorbankan masa dan tenaga bagi memastikan parti berjaya menguasai Putrajaya sepertimana pada PRU 2018 lalu.
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kemaman, Terengganu berkata, sempena Aidiladha ini, anggota KEAIDLAN harus bersedia berhadapan erti pengorbanan yang lebih besar menghadapi PRU 15 yang semakin dekat dan dijangka akan diadakan pada hujung tahun ini.
"Sempena sambutan Aidiladha ini, AMK Kemaman mengajak kita semua sama-sama bermuhasabah dan mengambil pengajaran serta hikmah daripada sambutan Hari Raya Korban.
"Setiap daripada perjuangan itu memerlukan pengorbanan. Perjuangan KEADILAN sejak saban tahun demi menegakkan keadilan melawan kezaliman menuntut anggotanya supaya berkorban sama ada masa, tenaga dan wang ringgit demi mencapai cita-cita perjuangan.
"Dalam menempuh jalan yang memerlukan pengorbanan ini kita dihadirkan dengan sahabat dan rakan seperjuangan dan dari situ lahirlah ukhuwwah serta kasih sayang sesama kita ahli parti.
"Kita berkongsi aspirasi yang sama dan aspirasi itu membugarkan ukhuwwah sesama kita," kata kenyataan tazkirah AMK Kemaman.
Menurut Unit Penerangan AMK itu lagi, anggota dan penyokong KEADILAN kali ini seharusnya masuk ke medan perang dengan semangat baharu, sementelah usainya Pemilihan KEADILAN 2022, dan dengan kehadiran pimpinan baharu dari peringkat nasional sehinggalah cabang.
"Justeru itu, sama-samalah kita terus merapatkan saf perjuangan dan hayatilah sifat pengorbanan yang benar dalam perjuangan ini.
"Kita adalah mata rantai perjuangan menentang ketidakadilan yang dimulai sejak zaman dahulu.
"Setiap perjuangan memerlukan bekal ilmu dan kefahaman. Kefahaman itu lahir daripada punca ilmu yang benar dan matlamat membebaskan rakyat daripada penindasan.
"Sama-samalah kita memohon kepada Allah SWT agar memberikan kita petunjuk, taufiq dan rezeki dalam meneruskan perjuangan ini," kata kenyataan itu lagi.