top of page

Pengorbanan hari ini punya harga tersendiri, kunci masa depan lebih baik

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 days ago
  • 2 min read

Hari Raya Aidiladha yang disambut hari ini wajar dihayati sebagai simbol pengorbanan dan ketakwaan agung berteraskan teladan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s.


Bagi Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Aidiladha bukanlah sekadar perayaan sebaliknya membawa makna mendalam tentang erti pengorbanan dalam menghadapi ujian kehidupan.


"Kebesaran dan kemuliaan Hari Raya Aidiladha pasti merujuk kepada teladan pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s atas ujian yang dihadapi, serta memperlihatkan hikmah dan rahsia Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa," katanya dalam perutusan khas sempena Aidiladha.


Kata PM, setiap usaha dan ikhtiar manusia dalam mendepani cabaran semasa menuntut pengorbanan sebagai prasyarat penting ke arah kejayaan.


"Pengorbanan yang kita lakukan hari ini punya harganya yang tersendiri dalam pelbagai perkara sama ada dalam hal ehwal pengurusan dan pengemudian ekonomi negara, bidang keilmuan dan lapangan keagamaan punya penekanan dan manifestasi masa hadapan," ujarnya.


Beliau juga menegaskan bahawa pengorbanan yang dilakukan waktu kini menjadi kunci kepada masa depan yang lebih baik, termasuk untuk keluarga, negara dan kehidupan selepas kematian.


Dalam masa sama, umat Islam diajak merenungi firman Allah SWT dalam Surah al-Saffat ayat 99 hingga 102 yang menggambarkan ketaatan dan kesabaran Nabi Ibrahim serta Nabi Ismail dalam melaksanakan perintah Allah yang bermakna tanpa pengorbanan hidup menjadi tidak bermakna dan gersang nilai.


Selain itu, ujarnya ibadah haji juga merupakan manifestasi tertinggi pengorbanan dan ketaatan, dengan maqasid kerohanian yang mampu membentuk jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana.


"Tatkala berihram dengan pakaian serba putih, kita diasuh dengan nilai kebersihan, kemurnian dan kesederhanaan. Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan."


Tambahnya, wuquf di Arafah pula merupakan simbol kesamarataan umat manusia tanpa mengira darjat dan pangkat, sekali gus menyemai rasa tawaduk di hadapan Allah SWT.


Sehubungan itu, umat Islam diseru agar terus menghayati nilai kesederhanaan dan tidak terpesong dengan kemewahan dunia yang bersifat sementara.


"Atas iktibar ini (ibadah haji) saya mengajak umat Islam agar menghayati pesanan kesederhanaan yang dizahirkan dalam ibadah Haji, agar sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan gemerlapan tarikan kemewahan dunia yang sementara. Jangan kita terpesong dari tujuan dan landasan kita. Dunia harus menjadi jambatan utuh ke arah negeri yang abadi dan kekal selamanya," kata beliau lagi.


PM turut mendoakan agar semua jemaah haji yang berada di Tanah Suci tahun ini memperoleh haji yang mabrur serta pulang ke tanah air dengan selamat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page