
Pengorbanan barisan hadapan yang bertugas memastikan pandemik Covid 19 tidak merebak meluas dan membunuh banyak nyawa perlu dihargai sepenuhnya.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr Gunaraj George mengucapkan jutaan terima masih kepada semua anggota polis, rela dan tentera yang telah bertugas melakukan sekatan jalan raya dan pemantauan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di seluruh negara.
"Jasa dan pengorbanan pihak berkuasa akan sentiasa dikenang seluruh rakyat Malaysia. Bertugas menjalankan sekatan jalan raya tanpa mengenal erti lelah ketika hujan mahupun panas, siang mahupun malam bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan untuk mengekang penularaan wabak Covid 19.
"Sekali lagi, saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua anggota polis, tentera dan rela yang terlibat dalam tugasan sekatan jalan raya.
"Sebagai rakyat Malaysia, saya mendoakan agar kita semua sentiasa patuh kepada SOP dan dilindungi daripada jangkitan Covid 19," katanya dalam satu kenyataan.
PKPB dilaksanakan sejak 14 Oktober lalu bagi mengawal wabak Covid yang tercetus sepanjang Pilihan Raya Negeri Sabah selepas kes baharu mencecah 1,000 sehari.
Sejak itu, Selangor dan Wilayah Persekutuan mengalami tempoh sekatan perjalanan yang panjang dan menuntut barisan hadapan bekerja lebih keras bagi memastikan wabak Covid terkawal.