Pengoperasian NSRC bukti komitmen kerajaan tangani jenayah scam
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa merasmikan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyberjaya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penubuhan NSRC merupakan bukti komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam membanteras jenayah siber dengan memastikan tindakan pantas dapat diambil terhadap kes penipuan kewangan dalam talian.
"Pengoperasian pusat ini kini diperkukuh dan berfungsi sepenuhnya sebagai pusat respons kebangsaan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu," katanya dipetik.
NSRC merekodkan pencapaian signifikan sepanjang 2025 dalam usaha melindungi mangsa penipuan kewangan dalam talian dengan mengendalikan 146,167 panggilan aduan dan membekukan 138,915 akaun yang terlibat.
Selain itu, pusat itu juga mencatat lonjakan ketara dalam aspek pemulangan dana kepada mangsa melalui proses ‘earmarking’, iaitu daripada RM508,479 pada 2024 meningkat kepada kira-kira RM6.7 juta pada 2025.
"Bagi Januari 2026 NSRC menerima 35,322 panggilan, dan sekiranya angka itu berterusan, jumlah keseluruhan bagi tahun ini dijangka meningkat berbanding tahun sebelumnya," tambah beliau.
Dalam pada itu Saifuddin menegaskan, aspek kesedaran awam perlu terus diperkukuh bagi mengelakkan orang ramai terjebak sebagai mangsa, termasuk tidak mudah terpedaya dengan tawaran lumayan atau bersikap tamak.
Sehubungan itu kerajaan telah meminda Kanun Keseksaan, khususnya Seksyen 424, bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang merelakan akaun bank mereka digunakan sebagai ‘keldai akaun’ untuk aktiviti penipuan.
"Ada individu yang terlibat merelakan dalam pengetahuan dia sebagai satu instrumen kewangan, instrumen pembayaran itu adalah satu kesalahan dari segi undang-undang," katanya.




Comments