Pengiktirafan tokoh Muslim berpengaruh, bukti kepimpinan Anwar – Wanita KEADILAN Sarawak
- Suara Keadilan

- Oct 31
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN Sarawak merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengiktirafan sebagai tokoh Muslim ke-10 paling berpengaruh di dunia bagi tahun 2026.
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Sarawak, Nur Jafni Abdullah berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja membanggakan rakyat Malaysia malah membuktikan ketokohan Anwar sebagai pemimpin yang berpegang kepada nilai keadilan, ilmu dan kesederhanaan Islam.
"Wanita KEADILAN Sarawak turut berbangga dengan sumbangan besar beliau dalam memperjuangkan agenda reformasi serta pembangunan masyarakat berteraskan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan keadilan, daya saing dan akhlak," katanya dalam satu kenyataan.
Anwar dinamakan sebagai tokoh Muslim paling berpengaruh ke-10 dalam edisi 2026 buku The World's 500 Most Influential Muslims yang diterbitkan Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC), Jordan.
RISSC turut mencatatkan bahawa Anwar berada di tangga ketujuh dalam kategori pemimpin Islam dan ahli politik paling berpengaruh di dunia mengatasi Prabowo (10) dan Presiden Mesir Abdel Fattah Saeed Al-Sisi (13).
Penilaian dibuat berdasarkan pengaruh tokoh Muslim, yang didefinisikan sebagai kemampuan untuk membawa perubahan ketara dalam dunia Islam atau dalam kalangan umat Islam sama ada dari aspek budaya, ideologi, kewangan, politik atau bidang lain, dengan impak dilihat sebagai positif atau negatif bergantung perspektif.
Wanita KEADILAN Sarawak sementara itu menyifatkan pengiktirafan tersebut mencerminkan penghormatan dunia terhadap kepimpinan Malaysia yang berasaskan hikmah dan nilai kemanusiaan sejagat.
"Tahniah YAB Perdana Menteri, teruskan membawa nama Malaysia ke persada dunia dengan kepimpinan berteraskan kebijaksanaan dan nilai sejagat," tambahnya.









Comments