'Penghormatan besar berucap di Parlimen Eropah wakili M'sia' - Karen Kasturi
- Suara Keadilan

- Jun 13
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Semangat anak muda Malaysia menyala megah di pentas dunia apabila Timbalan Bendahari Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat, Karen Kasturi tampil sebagai wakil negara dalam program kepimpinan politik melibatkan belia antarabangsa.
Menerusi satu kenyataan, Karen yang mewakili Malaysia dan KEADILAN waktu ini berada di Jerman bagi lawatan rasmi ke Eropah sehingga 17 Jun depan.
Exco Wanita KEADILAN Pusat itu sedang menyertai Konrad Adenauer School for Young Politicians (KASYP) di Mainz, sebuah inisiatif yang menghimpunkan pemimpin politik muda dari Asia dan Eropah untuk mendalami pemahaman tentang demokrasi berparlimen, sistem parti politik, dan penggubalan dasar yang berkesan.
Kemuncak utama lawatan beliau adalah sesi ucapan di European Youth Event (EYE 2025) hari ini di Parlimen Eropah, Strasbourg, Perancis.
Karen akan mewakili Malaysia dan KEADILAN di hadapan masyarakat antarabangsa yang terdiri daripada pemimpin belia, pembuat dasar dan aktivis masyarakat sivil dari seluruh dunia.

"Ini merupakan satu penghormatan besar apabila dijemput berucap di Parlimen Eropah bagi mewakili Malaysia dan juga KEADILAN. Juga penting untuk berkongsi perspektif unik Malaysia tentang demokrasi inklusif, pemerkasaan wanita, dan penglibatan belia dalam politik.
"Saya amat menantikan pertukaran pandangan yang bermakna bersama pemimpin belia dari seluruh dunia dan berhasrat membawa pulang idea-idea yang dapat memperkasa usaha kita di tanah air khususnya dalam memperkukuh penyertaan politik wanita dan belia serta perpaduan masyarakat majmuk," kata Karen dalam kenyataan itu.
Bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu merupakan seorang juruaudit profesional dengan pengalaman lebih sedekad, selain aktif sebagai pemimpin di peringkat akar umbi.
Penyertaan Karen pada acara berprestij kali ini mencerminkan peranan yang semakin meningkat bagi wanita dan belia Malaysia di pentas politik antarabangsa, serta komitmen beliau dalam memajukan nilai-nilai demokrasi dan kerjasama melalui diplomasi yang diterajui golongan belia.
EYE 2025 merupakan program dwitahunan utama anjuran Parlimen Eropah yang menghimpunkan ribuan belia dari seluruh dunia untuk berdialog tentang isu-isu penting seperti iklim, teknologi, tadbir urus yang baik dan usaha membina keamanan.









Comments