Penghargaan kerajaan legakan rakyat kurangkan kos sara hidup - Fahmi
- Suara Keadilan

- Jul 23
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pengumuman penghargaan kepada rakyat Malaysia yang dibuat oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuktikan Kerajaan MADANI peka terhadap denyut nadi rakyat, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk meringankan beban kos sara hidup melalui pelbagai bentuk bantuan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pada masa sama kerajaan komited untuk terus berusaha mengimbangi keperluan meningkatkan kedudukan kewangan negara dengan tanggungjawab menjaga kesejahteraan rakyat.
''Langkah yang diambil adalah hasil pertimbangan teliti dan berlandaskan prinsip keadilan sosial serta kemampanan ekonomi.
''Pendekatan yang diumumkan ini juga akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, memberikan kelegaan kepada rakyat, di samping mengukuhkan daya tahan fiskal negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.
''Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat (YAB) PM atas pengumuman langkah-langkah Kerajaan MADANI yang memberikan kelegaan kepada rakyat, serta memacu kestabilan ekonomi negara,'' katanya menerusi satu muat naik di Facebook rasmi beliau.
Menurut Fahmi lagi, selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) beliau menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyemarakkan semangat cinta akan tanah air apatah lagi kerajaan turut mengumumkan cuti tambahan kelepasan khas pada Hari Malaysia.
''Inilah masanya untuk kita bersatu hati dan jiwa, menghargai nikmat kemerdekaan, dan bersama-sama menyumbang kepada kemakmuran negara.
''Kerajaan akan terus memperkukuh agenda pembangunan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan Malaysia MADANI yang sedang digarap demi manfaat rakyat seluruhnya,'' katanya lagi.
Sebentar tadi, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan beberapa inisiatif penting sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada rakyat di negara ini.
Antara yang diumumkan adalah pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sempena Hari Kebangsaan 31 Ogos.
Kerajaan juga memutuskan bahawa tiada kenaikan tol bagi 10 lebuh raya, menyaksikan memperuntukkan lebih RM500 juta dibelanjakan untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi demi memastikan rakyat terus menikmati kemudahan menggunakan lebuh raya tanpa beban tambahan.
Selain itu, harga petrol RON95 diturunkan ke RM1.99 seliter bagi rakyat Malaysia dalam dua bulan akan datang, manakala peruntukan Jualan Rahmah MADANI digandakan kepada RM600 juta.
Jualan itu diperluas ke semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar harga barangan asas mampu milik lebih dekat dengan setiap keluarga.









Comments