Hapus AUKU kemenangan perjuangan mahasiswa – Adam Adli
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read
Updated: 6 minutes ago

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli Abd Halim menyifatkan usaha penghapusan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diumumkan Perdana Menteri semalam sebagai satu kemenangan hasil perjuangan panjang golongan mahasiswa yang selama ini memperjuangkan kebebasan dan hak mereka sejak 1971.
Beliau berkata, kemenangan itu wajar didedikasikan kepada mahasiswa yang terus berjuang, termasuk mereka yang telah berkorban dalam pelbagai bentuk sepanjang perjuangan tersebut.
"Saya ucap tahniah kepada rakan-rakan mahasiswa yang masih berjuang, ada yang masih ada, ada yang dah tak ada.
"Banyak yang berkorban macam-macam, hari ini kemenangan untuk mereka," katanya ketika ditemui selepas usai Kongres Nasional KEADILAN 2026 di MITC, semalam.
Mengulas ucapan dasar Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kongres, Adam Adli berkata pencapaian ekonomi negara yang memberangsangkan yang beliau utarakan perlu diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dirasai rakyat.
Menurutnya, tempoh berbaki dalam penggal kepimpinan Anwar perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh usaha merapatkan kesenjangan ekonomi dan memastikan pencapaian negara dari segi pertumbuhan, pengukuhan ringgit serta prestasi ekonomi dapat dinikmati golongan bawahan.
"Ini semua tiada maknanya kalau tidak dirasai oleh rakyat yang paling bawah. Agenda utama yang diperjuangkan PM seperti penghapusan miskin tegar dan sebagainya harus kita lakukan usaha berbeza (untuk menerangkannya).
"Sekarang kita balik kepada bagaimana untuk terjemahkan dasar dan program berbeza pula," katanya.
Pilihan Raya Negeri Melaka
Dalam perkembangan lain, Adam Adli berkata persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini mula diperkemaskan dengan tumpuan diberikan kepada pengukuhan jentera di peringkat cabang.
Katanya, Jawatankuasa Pilihan Raya Cabang (JPRC) dan Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN) telah diaktifkan sejak beberapa bulan lalu bagi menilai kekuatan serta kelemahan KEADILAN di negeri itu.
"Persiapan untuk PRN Melaka tentu sekali sekarang kita bermula balik kepada jentera di peringkat cabang, JPRC dan JPRN telah diaktifkan sejak beberapa bulan lalu untuk menilai apa kelemahan dan apa kekuatan yang boleh kita sama-sama ketengahkan.
"Kelemahan kita perbaiki. Kita ada dua pilihanraya sebelum ini (Johor dan Negeri Sembilan), dinamik yang cukup berbeza tetapi kita akan cuba yang terbaik pastikan strategi dan pendekatan kita dalam PRN kali ini dapat membuahkan hasil," katanya yang juga pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Melaka.
Adam Adli turut mengakui KEADILAN merupakan antara parti yang paling terkesan dalam PRN Melaka 2021 apabila tidak memperoleh sebarang kerusi.
Justeru, katanya, parti itu perlu bekerja lebih keras untuk membuktikan KEADILAN masih mempunyai pengaruh di Melaka.
"KEADILAN yang paling teruk terkesan dalam PRN Melaka 2021 di mana kita tak dapat pulangan hasil. Kita perlu kerja keras kali ini untuk membuktikan kita masih relevan di Melaka dan kita boleh bangunkan kembali tapak perjuangan kita di sini," katanya.




Comments