Penghantaran pulang pelarian Rohingya kurangkan keresahan rakyat
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 1 min read
Updated: 4 hours ago

Penghantaran pulang secara sukarela 5,000 pelarian rakyat Myanmar termasuk etnik Rohingya berpotensi mengurangkan sebahagian keresahan rakyat berkaitan isu kehadiran warga asing.
Penganalisis sosiopolitik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, langkah tersebut juga bakal mengurangkan tekanan dari sudut kemudahan awam, peluang pekerjaan dan aspek keselamatan.
"Inisiatif penghantaran pulang secara sukarela warga Myanmar yang layak merupakan satu langkah yang boleh memberi manfaat kepada Malaysia dari aspek keselamatan negara, pengurusan migrasi dan hubungan antarabangsa.
"Pelaksanaan secara teratur dapat membantu kerajaan menguruskan risiko berkaitan migrasi tidak teratur, pemerdagangan manusia, penyeludupan migran dan jenayah rentas sempadan," katanya dipetik laporan media.
Nur Ashikin sementara itu menegaskan, isu pengurusan status pelarian juga wajar diselesaikan secara tuntas.
"Keresahan rakyat juga perlu dituntaskan menerusi pengurusan status pelarian lebih jelas, pendaftaran dan dokumentasi sistematik serta penguatkuasaan yang berkesan.
"Penyelesaian jangka panjang memerlukan gabungan pengurusan migrasi yang lebih baik, kawalan sempadan, penguatkuasaan, kerjasama diplomatik dengan Myanmar dan ASEAN serta mekanisme perlindungan kemanusiaan yang jelas," tambahnya.
Kerajaan telah memuktamadkan pelaksanaan fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela pelarian rakyat Myanmar yang layak ke negara asal.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, bagi tahun 2026, seramai 5,000 individu akan menjalani proses penghantaran pulang berkenaan secara berperingkat sebagaimana yang dipersetujui oleh Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar.




Comments