top of page

Pengguna air domestik di Selangor tidak begitu terkesan tarif baharu

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 2
  • 2 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Pengguna domestik di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mengalami kenaikan tarif air sebanyak RM0.30, menjadikan kadar baharu RM1.62 setiap meter padu bermula 1 September ini.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari walau bagaimanapun berkata, kenaikan tersebut tidak membabitkan pengguna yang menggunakan air antara 20 hingga 35 meter padu (m³) sebulan yang menikmati kadar RM0.65 per m³.


"Ini bermaksud tiada peningkatan kerana kadar ini telahpun diselaraskan pada Februari 2024. Caj minimum RM6.50 turut kekal bagi pengguna domestik," katanya dalam kenyataan.


Sementara itu menurut Amirudin, bagi rumah kos rendah, peningkatan paling minimum dikenakan iaitu hanya RM0.10, menjadikan kadar baharu RM1.18 per m³.


Kategori kondominium, kuarters kerajaan dan estet pula ditetapkan pada kadar baharu RM2.09 per m³, manakala caj minimum baharu bagi kuarters ialah RM20.90 sebulan dan minimum bulanan bagi kondominium pula kekal RM173.


Jelasnya, pengguna bukan domestik seperti premis komersial turut diselaraskan kepada kadar baharu RM3.51 per m³ (bawah 35 m³) dan RM3.83 per m³ (lebih 35 m³), peningkatan sebanyak RM0.57.


"Selain itu, kategori pusat data sebagai pengguna baharu, dikenakan kadar RM5.31/m³," jelasnya.


Kenaikan tarif merentasi banyak negeri dilaksana susulan penyelarasan tarif air yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri untuk seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, selepas mengambil kira keperluan mengekalkan kualiti perkhidmatan air terawat kepada rakyat dan industri.


Perlis menyaksikan kenaikan caj minimum daripada RM7.20 kepada RM8.80, manakala di Kelantan meningkat daripada RM6.80 kepada RM8.00. Tarif minimum air di Kedah naik sebanyak 60 sen kepada RM8.10.

Bagi negeri Terengganu, pengguna domestik dengan penggunaan tinggi akan terkesan dengan kenaikan yang lebih ketara, dengan kadar tambahan masing-masing RM0.86 dan RM1.17 bagi peringkat penggunaan kedua dan ketiga.


Manakala Kerajaan Negeri Perak tidak melaksana kenaikan tarif kepada pengguna domestik, sebaliknya hanya membabitkan industri perkapalan.

Sementara walaupun kadar tarif air dinikmati penduduk di Lembah Klang jauh lebih rendah berbanding Perlis, Kelantan, Kedah dan Terengganu, Kerajaan Selangor jelas Amirudin terus komited memastikan beban rakyat dapat ditangani.


Kerajaan Negeri jelasnya akan meningkatkan had pendapatan isi rumah yang layak untuk menerima Skim Air Darul Ehsan (SADE) daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.


"Kerajaan Negeri akan menanggung kos sebanyak anggaran sehingga RM52.7 juta bagi memastikan usaha untuk mengukuhkan perkhidmatan air tidak meningkatkan kos sara hidup rakyat yang memerlukan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page