Penggantian dokumen pengenalan diri percuma mangsa kebakaran Sabah - KDN
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI melalui Kementerian Dalam Negeri Malaysia akan menyediakan penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah.
Menurut kementerian itu, inisiatif berkenaan selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika meninjau lokasi insiden kebakaran besar yang menjejaskan ribuan penduduk, semalam.
"Kerajaan MADANI melalui Kementerian Dalam Negeri akan menyediakan penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma kepada warganegara Malaysia yang terjejas akibat kebakaran tersebut," kata kenyataan itu.
KDN memaklumkan bahawa setiap permohonan akan disemak secara teliti berdasarkan rekod dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia bagi memastikan hanya individu yang layak menerima kemudahan tersebut.
Antara dokumen yang terlibat ialah sijil kelahiran, MyKid, MyKad, sijil kematian serta sijil perkahwinan bukan Islam di bawah JPN, selain penggantian pasport oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
Bagi memudahkan urusan mangsa, JPN akan menggerakkan inisiatif MEKAR (Menyemai Kasih Rakyat) dengan menyediakan perkhidmatan bergerak di kawasan terjejas.
"Perkhidmatan bergerak (MEKAR) di kawasan insiden ini bagi membolehkan mangsa mendapatkan penggantian dokumen seperti sijil kelahiran, MyKid dan MyKad secara terus, cepat dan tanpa perlu hadir ke pejabat JPN," katanya.
Dalam masa sama, Jabatan Imigresen Malaysia turut menawarkan penggantian pasport secara percuma, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan, dengan keutamaan diberikan kepada mangsa bagi mempercepatkan proses permohonan.
Kementerian itu menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat yang terjejas tidak berdepan kesukaran berpanjangan akibat kehilangan dokumen penting.
"Usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan memastikan bantuan disampaikan secara cepat, mudah dan berperikemanusiaan, selaras dengan nilai ihsan dan keprihatinan," kata kenyataan itu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sesawang di https://www.moha.gov.my/, JPN di https://www.jpn.gov.my/, atau JIM di https://www.imi.gov.my/.




Comments