Pengerusi KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengesahkan bahawa beliau akan bertanding di kerusi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, antara kerusi yang dipertimbangkan ialah Parlimen Kuala Kangsar yang kini disandang oleh Mastura Mohd Yazid, yang memenangi kerusi itu pada PRU-14 dengan majoriti 731 undi.
Beliau turut bersedia untuk bertanding dengan nama-nama besar termasuklah Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu.
"Sebagai pengerusi negeri saya telah berbincang dengan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau mencadangkan dua, tiga tempat untuk bertanding.
"Tetapi masih terlalu awal untuk membuat keputusan. Kami masih perlu berbincang dengan komponen parti.
"Ada cadangan untuk berlawan dengan Peja (Ahmad Faizal) di salah satu kawasan DUN yang kalau dia pergi DUN kita lawanlah.
"Saya akan lawan calon heavyweight. Yang mana ada heavyweight kita akan pergi kecuali Bagan Datuk itu terlalu heavyweight," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi KEADILAN Perak, Datuk MA Tinagaran berkata, KEADILAN Perak menamakan Farhash sebagai calon Menteri Besar Perak sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya meraih kemenangan majoriti pada PRU-15.
Tambahnya, kerusi-kerusi yang dipertandingkan oleh Bersatu sebelum ini menjadikan PH berpeluang lebih cerah untuk meraih kemenangan.
"Jika kita meletakkan calon yang betul, kemungkinan untuk kita menang nanti amat cerah. Kami percaya rakyat akan memberi peluang kepada kita.
"Kita akan menonjolkan bakat baharu dan Farhash orang yang sesuai untuk ditawarkan mengetuai negeri ini," katanya.
Setakat ini, KEADILAN Perak mempunyai pertambahan keahlian melebihi 85,000 manakala lebih 600 ranting KEADILAN berjaya ditubuhkan.
Comments