
Oleh: Abdullah Zaid
Tidak cukup pencalonannya diboikot oleh Pas, komponen Perikatan Nasional tempoh hari, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sekali lagi tidak dihormati oleh pimpinan parti Islam tersebut apabila tidak dijemput dan diarah beredar daripada menyertai Majlis Ceramah Mega PN di Pulau Pinang.
Mengulas insiden memalukan itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf menyifatkan tindakan Pas dan para pemimpinnya sebagai bukti gabungan PN yang dikenali sebagai “Bersih dan Stabil” itu tidak seperti yang digambarkan.
"Sejujurnya saya simpati kepadanya (Dominic Lau) apabila figura seorang presiden parti komponen boleh 'dihalau' oleh sekutunya, sedangkan rakan-rakan daripada pimpinan PN lain boleh sahaja duduk di pentas," katanya kepada Suara Keadilan.
Tambahnya, beliau turut hairan dengan penafian daripada Presiden Gerakan yang mengatakan dirinya tidak 'dihalau' sebaliknya hanya berlaku salah faham melibatkan gabungan pembangkang itu.

"Tidak kira apa pun alasannya, tidak manis Pas menterjemahkan layanan sebegitu terhadap rakan komponen.
"Dia bukan ahli biasa sebaliknya Pengerusi PN Pulau Pinang. Keutamaan beliau sebagai tuan rumah tidak boleh dilayan sebegitu," ujarnya lagi.
Justeru, jelas Abshar, sikap yang ditunjukkan pemimpin Pas adalah ciri sebenar gabungan itu yang gemar menggunakan sentimen kebencian kaum dan agama bagi meraih sokongan.
Malah, katanya, dalam sesama komponen pun mereka bercakaran mengenai hal hal kaum dan agama.
"Apa yang berlaku kepada Dominic itu adalah cerminan jentera dan pemimpin Pas sendiri sudah tidak mampu mengawal perasaan kebencian antara kaum.
"Ia sekali gus membuka mata banyak pihak bahawa pembawakan Pas yang dibawa Presidennya sukar diterima negara Malaysia yang pelbagai kaum.
"Jika dibiarkan ideologi perkauman ini terus ditanam ke minda rakyat, ditakuti boleh membawa negara ke arah binasa," kata Abshar.
Kelmarin, media melaporkan Presiden Gerakan Dominic Lau diminta meninggalkan pentas atas alasan pemimpin PN itu tidak diundang ke Ceramah Mega gabungan tersebut.
Dalam pada itu, Suara Keadilan melaporkan pemimpin PN itu diboikot oleh jentera Pas ekoran pencalonannya yang bertanding di kerusi majoriti Melayu.
Walau bagaimanapun, calon DUN Bayan Lepas itu menafikan dakwaan tersebut.
* Kredit foto Malaysiakini
留言