NGO Melayu, India sepakat pilih damai, seru henti sengketa kaum
- Suara Keadilan

- 16 minutes ago
- 1 min read

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili masyarakat Melayu dan India menggesa segala isu perkauman membabitkan kedua-dua kaum itu dinoktahkan segera.
Perkara itu diputuskan menerusi sesi dialog membabitkan beberapa NGO yang diadakan semalam yang bertujuan mencari titik perdamaian menyeluruh terhadap isu membabitkan kedua-dua kaum itu sejak beberapa minggu lalu.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dipetik laporan media berkata, sesi dialog yang akan membuka ruang kepada kedua-dua komuniti untuk berunding tanpa dipengaruhi pihak luar.
Justeru, rundingan pusingan pertama itu membabitkan kira-kira 20 wakil Melayu dan 10 wakil India sepakat supaya jalan perdamaian melalui rundingan perlu diadakan bagi mencari persamaan dalam menyelesaikan segala masalah yang berbangkit.
"Kita berusaha memadamkan titik panas yang melanda ketika ini. Kita akan berdialong dan berbincang antara satu sama lain, bukan lagi melihat kepada komentar pihak ketiga atau provokasi orang lain.
"Ini adalah langkah permulaan dan kita mahu bergerak ke hadapan," katanya.
Zainul Rijal berkata demikian pada sidang media selepas sesi dialog menerusi Program Harmoni MADANI yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Sementara itu, Presiden Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan Persatuan Agama Hindu Malaysia (MAHIMA), Datuk N Sivakumar, berkata pertemuan itu amat penting bagi mencari penyelesaian damai.
Beliau berkata, semua pihak menginginkan hidup dalam negara yang harmoni dan tidak sewajarnya perpaduan serta perdamaian dipertaruhkan angkara segelintir individu tidak bertanggungjawab.
"Sebenarnya, kita memang hidup sebagai dalam satu negara, Malaysia yang harmoni. Tetapi disebabkan satu atau dua orang, disebabkan mulut dan tangan mereka, kita harus lupakan mereka sebaliknya kita mencari perdamaian," katanya dipetik.




Comments