Pengeluaran one off RM10,000 caruman Kumpulan Wang Simpanan Perkerja (KWSP) perlu disokong memandangkan pihak kerajaan tidak memberikan cadangan alternatif membantu rakyat yang terkesan ekonominya akibat Covid 19.
Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, biar pun pengeluaran tabungan berkenaan akan menyukarkan kehidupan pencarum pada masa hadapan namun ianya perlu dipertimbangkan pada waktu getir ini.
"Saya ambil maklum terdapat desakan di kalangan rakyat yang mahukan pengeluaran KWSP dibenarkan oleh kerajaan.
"Seperti yang saya pernah kemukakan soal ini tahun lalu di Dewan Rakyat, saya agak keberatan untuk mendukung langkah ini kerana ia pasti memberi kesan kepada simpanan mereka di masa hadapan meski saya tahu pendirian ini sangat tidak popular di kalangan rakyat.
"Saya turut meletakkan syarat kepada kerajaan saat itu untuk menampung kerugian yang dialami rakyat akibat banjir sekiranya kerajaan enggan untuk membenarkan pengeluaran KWSP. Namun, setelah berbulan berlalu, nampaknya kerajaan dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul tidak mempedulikan desakan ini. Bilangan rakyat yang mengeluh kepada saya terus meningkat," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, pengeluaran secara one off ketika ini amat diperlukan bagi menjana kewangan kepada rakyat yang banyak berhutang, kehilangan modal perniagaan dan sebagainya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang 2 tahun lalu.
"Saya terus mendengar keluhan di kalangan rakyat yang hari ini berada dalam keadaan amat terdesak dan menekan, terutamanya dalam jelajah saya di seluruh Johor yang sedang berlangsung.
"Justeru, setelah kita melihat kerajaan seolah tidak ada jalan untuk merungkai kegagalan ini, saya kini mendukung agar pengeluaran ini dibenarkan sesegera mungkin dan tanpa ada apa-apa halangan dan kerenah birokrasi. Kerajaan juga mesti ambil kira nasib golongan rakyat yang tidak mencarum," katanya lagi.
Commentaires