top of page

Pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya dilaksana berfasa




Inisiatif pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dilaksana secara berfasa selama dua tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.


Melalui satu kenyataan Azalina berkata, ia akan dilaksana melalui kajian empirikal di tiga negara iaitu Kanada, Australia serta United Kingdom.


Kajian empirikal yang pertama akan dilaksana di Kanada pada Mei tahun ini susulan keputusan Jemaah Menteri pada 31 Jan lalu yang bersetuju mengenai perkara itu.


"Perbincangan di Kanada akan memfokus kepada kajian empirikal secara terperinci dan mendapatkan keterangan secara terus mengenai model pengasingan terbaik yang diamalkan


"Kajian itu antara lain melibatkan perjumpaan dengan Menteri Keadilan dan Peguam Negara Kanada iaitu Arif Virani, Jawatankuasa Pilihan Khas serta Ketua Pengarah Pendakwa Kanada.


"Selain itu, perbincangan meja bulat dijangka diadakan di Universiti Ottawa dengan penyertaan dan kerjasama Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya bersama pakar perundangan yang berkenaan," kata kenyataan tersebut.


Sementara itu tambahnya, parameter kajian itu mencakupi beberapa aspek termasuk perlindungan institusi terhadap pelantikan dan pemecatan Pendakwa Raya serta aspek akauntabiliti khususnya mengenai keperluan melaporkan kepada mana-mana badan sebagai mekanisme semak dan imbang.


Aspek lain ialah takat campur tangan Peguam Negara berkaitan penetapan dasar keadilan jenayah dan kuasa untuk menghentikan pendakwaan jika dimulakan oleh Pendakwa Raya serta struktur perkhidmatan, struktur organisasi dan operasi pejabat Pendakwa Raya di luar negara.


"Pelaksanaan kajian ini memperlihatkan bahawa kerajaan MADANI akan terus kekal komited dalam agenda reformasi institusi yang akan memastikan tadbir urus negara yang lebih demokratik dipertingkat selaras dengan pentadbiran, sistem perundangan dan tatakelola yang baik," katanya.


Azalina dalam kenyataan tersebut turut memaklumkan, kajian yang dijalnkan akan dipantau oleh dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Kajian Komparatif dan Jawatankuasa Teknikal.


Keanggotaan Jawatankuasa Kajian Komparatif melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihanraya dan Reformasi Institusi, seorang wakil Ahli Dewan Rakyat, masing- masing daripada blok kerajaan dan pembangkang serta agensi pusat seperti Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.


"Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara akan menjadi urus setia bersama bagi kedua-dua jawatankuasa.


"Kedua-dua jawatankuasa ini akan memastikan kajian empirikal dapat dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira pelaksanaan pengasingan di negara lain serta pandangan pihak berkepentingan di dalam negara," tambahnya.


0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page