Pengantunan seksual: Jatuhkan hukuman berat sesiapa terlibat
- Suara Keadilan
- 43 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Wanita KEADILAN menggesa siasatan dijalankan secara adil dan tegas terhadap pempengaruh dikenali CEO Batu agar lelaki itu boleh dibawa ke mahkamah dengan hukuman berat jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan jenayah siber antaranya membabitkan kanak-kanak.
"Ini adalah untuk melindungi kanak-kanak yang tidak dapat diperkecualikan dalam dunia siber.
"Berdasarkan Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, Pengantunan Seksual Kanak-Kanak Atas Talian merupakan perlakuan jenayah seksual (sexual grooming) untuk memanipulasi dan mengeksploitasi kanak-kanak sebagai mangsa seksual individu yang tidak bertanggungjawab.
"Menurut Statistik Jenayah Malaysia 2024, kes pengantunan seksual dalam Malaysia berleluasa dengan kes direkodkan sebanyak 1,587 pada 2023 berbanding 1,239 kes pada 2022.
"Kesedaran masyarakat khususnya penjaga kanak-kanak mengenai pengantunan seksual amat kritikal," ujarnya dalam satu kenyataan.
Pada 23 Mei lalu, CEO Batu yang berusia 22 tahun dilapor sudah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar beberapa mesej tidak senonoh kepada remaja bawah umur berusia 14 tahun.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan, penyanyi dan aktivis, Caprice mendedahkan mengenai beberapa kiriman mesej di media sosial yang dihantar pempengaruh terbabit kepada remaja di bawah umur.
Difahamkan juga, pempengaruh itu turut mengirimkan mesej memohon maaf kepada ibu remaja berkenaan kemudiannya.