top of page

Penganjuran program bertema HIV perlu peka sensitiviti masyarakat - ABIM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius perbincangan awam yang tercetus susulan penganjuran program komuniti bertemakan HIV yang menggunakan pendekatan serta penjenamaan sensitif dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang agama, budaya dan nilai.


Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (gambar) menegaskan bahawa isu HIV dan AIDS merupakan isu kesihatan awam yang nyata dan melibatkan nyawa serta kesejahteraan insan, justeru usaha pendidikan, pencegahan dan rawatan tidak wajar distigmakan.


"Individu yang hidup dengan HIV perlu disantuni dengan rahmah, empati dan sokongan komuniti, selari dengan prinsip kemanusiaan dan maqasid syariah dalam memelihara nyawa serta maruah insan," katanya dalam satu kenyataan.


Namun demikian, katanya, ABIM berpandangan bahawa pendekatan, bahasa dan penjenamaan kempen kesedaran kesihatan awam tidak boleh dipisahkan daripada realiti sosiobudaya, norma agama serta kerangka undang-undang negara.


"Penggunaan istilah, simbol atau naratif yang membawa konotasi ideologi tertentu berisiko mengaburkan mesej kesihatan, mencetuskan salah faham masyarakat dan menimbulkan ketegangan sosial adalah tidak perlu," katanya.


Bagaimanapun, katanya, ABIM menegaskan bahawa pertubuhan tersebut tidak menyokong sebarang bentuk normalisasi perlakuan songsang atas nama kesedaran kesihatan awam.


"Penolakan terhadap perbuatan yang bercanggah dengan ajaran agama dan nilai masyarakat tidak bermaksud penolakan terhadap individu, sebaliknya merupakan usaha menjaga kesejahteraan sosial, akhlak dan keharmonian bersama."


Dalam aspek tadbir urus negara, ABIM mencadangkan agar Malaysia memperkukuh kerangka dasar dan kawal selia terhadap penganjuran program komuniti, khususnya yang bersifat tertutup, bermalam dan bertemakan isu sensitif.


Menurut Ahmad Fahmi, langkah tersebut bukan bertujuan menyekat ruang sivik atau menghukum mana-mana pihak, sebaliknya sebagai pendekatan pencegahan dan tadbir urus berhemah.


"Isu kesihatan awam tidak seharusnya disalahgunakan sebagai pintu masuk kepada advokasi identiti atau normalisasi nilai yang bercanggah dengan asas masyarakat dan Perlembagaan negara," tegas beliau.


Dari perspektif Islam, beliau menekankan bahawa pendekatan dakwah dan kesedaran perlu berteraskan hikmah, pendidikan fitrah, pemulihan akhlak serta sokongan psikososial, tanpa bahasa menghukum atau memalukan, namun juga tanpa mengabsahkan perlakuan yang bercanggah dengan ajaran agama.


ABIM, katanya, percaya bahawa keseimbangan antara rahmah dan ketegasan, kebebasan bersuara dan kepentingan moral awam merupakan asas keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.


"ABIM kekal komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa, pertubuhan masyarakat sivil serta semua pemegang taruh bagi membangunkan pendekatan kesihatan awam yang beretika, berbudaya dan berteraskan nilai demi kesejahteraan masyarakat dan masa depan generasi negara," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page