Oleh: Abdullah Zaid
Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang kesal dengan penjelasan penganjur Georgetown Festival 2024 yang seakan tidak bersungguh menjawab isu kecuaian dalam menjaga sensitiviti masyarakat berhubung penganjuran festival berkenaan.
Ketuanya, Fadzli Roslan berkata alasan pihak penganjur hanya menumpukan kebudayaan kaum Cina dan India atas alasan hanya mempromosikan seniman sahaja tidak boleh diterima.
"Video itu jelas menunjukkan secara konsisten seniman Cina dan India memaparkan kebudayaan bangsa mereka.
"Penganjur seharusnya lebih berhati-hati dalam pembikinan video mereka, tidak boleh mementingkan nilai estetika sahaja tanpa melihat konteks penerimaan masyarakat Pulau Pinang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama," katanya dalam satu kenyataan.
Malah, jelas Fadzli, imej kepelbagaian budaya di Pulau Pinang mesti dipelihara dan diraikan dalam semua bahan promosi.
"Kami juga ingin mencadangkan kepada penganjur Georgetown Festival 2024 dan mana-mana penganjur yang ingin menganjurkan program agar lebih bersifat inklusif dengan mempamerkan juga kebudayaan Melayu secara jelas di dalam promosi, bukan sekadar melibatkan program-program atau persatuan-persatuan Melayu di belakang tabir semata-mata," ujarnya.
Sebelum ini, tular video klip promosi sambutan George Town Festival (GTF) 2024 yang dilihat hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India sehingga mendapat perhatian Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gagungan) yang meminta pihak berkepentingan bertanggungjawab penuh berhubung perkara itu.
Susulan itu, pihak George Town Festival 2024 memohon maaf dan menurunkan video promosi berkenaan.
Namun Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menyelar permohonan maaf yang dilakukan oleh wakil penganjur yang disifatkan tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh.
Menurutnya, George Town Festival 2024 cuai dalam menjaga sensitiviti masyarakat dengan mengambil cara mudah selain menggesa mana-mana pihak yang memerlukan bantuan bagi sebarang penganjuran budaya agar berjumpa dengannya pada bila-bila masa.
コメント