Oleh: Abdullah Zaid
Menyifatkan kenyataan rakan sejawatnya Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer sebagai ‘separuh betul’, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam sidang Dewan Rakyat baru baru ini menegaskan hasrat memperkasakan pengangkutan awam meliputi seluruh negeri tanpa pilih kasih.
Menerusi perkongsian klip video di laman Facebook milik Ahli Parlimen Seremban itu, Rayer merakamkan penghargaan atas inisiatif baharu yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan tersebut di Pulau Pinang.
"Sejak YB Menteri menjadi Menteri Pengangkutan. Pulau Pinang telah menerima limpahan Kerajaan Persekutuan seperti tambahan perkhidmatan feri yang baharu.
"Selain itu ada juga berita baik mengenai perluasan naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan juga penambahan bas awam.
"Sesungguhnya kita berterima kasih atas semua pengumuman-pengumuman ini dan semenangnya rakyat Pulau Pinang berterima kasih kepada kerajaan," kata Rayer dalam ucapan di Dewan Rakyat.
Namun Loke bangkit menjawab bagi memperbetulkan kenyataan Ahli Parlimen Jelutong itu.
"Saya ingin rakam terima kasih, tetapi apa yang dikatakan itu separuh betul kerana bukan sahaja Pulau Pinang dibantu tetapi negeri-negeri lain kita juga bantu.
"Kelantan juga kita bantu. Lapangan Terbang Kota Bharu tetap kita teruskan tak berhenti pun, inilah Kerajaan MADANI," katanya.
Untuk rekod, selain Kelantan, Kedah juga menerima peruntukan lebih RM500 juta membabitkan tiga projek terminal dan jeti bagi menambah baik kemudahan perkhidmatan pengangkutan di utara tanah air itu.
Usaha itu selari dengan tuntutan MADANI yang tidak akan meminggirkan mana-mana negeri biarpun dipegang oleh pembangkang.
Comments