Pengangguran dalam kalangan generasi muda amat membimbangkan pasca pandemik Covid 19.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Negeri Sembilan, Mohamad Afif Anuar, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru baru ini menunjukkan kadar pengangguran belia bagi warganegara yang berumur antara 15 sehingga 24 tahun berada pada paras tertinggi hingga Mei 2022, iaitu sebanyak 12.5%.
Manakala guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran pula, katanya, direkodkan sebanyak 36.9% pada suku pertama tahun 2022.
"Dalam erti kata lain, hampir 4 daripada 10 rakyat Malaysia yang bekerja bawah paras kelayakan dan kemahiran lantas menyebabkan keupayaan penjanaan produktiviti mereka kurang digunakan, dan imbuhan serta gaji yang diterima di bawah tahap memuaskan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, keupayaan pekerjaan bermaruah yang ditawarkan kini amat rendah mengakibatkan trend peningkatan belia dan anak muda menyertai perkhidmatan penghantaran makanan dan e-hailing meningkat.
Hal itu, katanya terpaksa dilakukan bagi mengatasi bebanan pembiayaan akibat perbelanjaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Selain kekurangan penyediaan peluang pekerjaan yang bermaruah, ujarnya telah menyebabkan fenomena brain drain terutamanya dalam kalangan belia.
"Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, lebih daripada 1.83 juta orang yang dilahirkan di Malaysia tinggal di luar negara pada 2015, kebanyakannya di Singapura. Satu per tiga daripada penghijrah ini adalah berkemahiran tinggi dan menyumbang 20 peratus daripada rakyat Malaysia yang mempunyai ijazah dan melanjutkan pengajian di universiti," kata Afif.
Tambah beliau, dapatan kajian menunjukkan keupayaan produktiviti buruh setiap pekerja Malaysia (AS$ 55.36 ribu) adalah jauh lebih rendah berbanding keupayaan produktiviti buruh Singapura (AS$ 149.05 ribu) iaitu lebih daripada dua kali ganda perbandingannya.
Produktiviti negara yang rendah merupakan menjadi punca utama pengangguran dan guna tenaga tidak penuh di Malaysia
Keadaan pengangguran lebih parah apabila kerajaan BN - PN mengekalkan dasar tenaga buruh murah.
Hal itu jelas Afif, mengurangkan keupayaan menggalakkan perniagaan-perniagaan daripada mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang dapat meningkatkan produktiviti.
Oleh itu, katanya, AMK Negeri Sembilan menggesa Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan dalam meningkatkan produktiviti negara melalui penyediaan mekanisme dan insentif dalam menyediakan peluang pekerjaan bermaruah, sebagai sebahagian besar agenda utama Belanjawan 2023.
"Beberapa inisiatif dan tawaran hasil Belanjawan Negeri Sembilan seperti Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS), Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan Plus (TUNS PLUS) dan Siswazah Tani (INSIST9) adalah usaha-usaha yang baik dalam ruang kapasiti kerajaan negeri untuk menggalakkan perniagaan dan boleh dicontohi.
"Hal yang penting adalah Belanjawan 2023 ini Kerajaan Persekutuan perlu mengetengahkan rancangan jangka masa panjang meningkatkan keupayaan penyediaan peluang pekerjaan yang bermaruah bagi menyelesaikan isu pengangguran dan guna tenaga tidak penuh dalam kalangan belia dan anak muda," katanya lagi.
Comments