Pengampunan penuh hapus implikasi undang-undang ke atas PM Anwar
- Suara Keadilan

- Aug 17
- 2 min read

Saman pemula yang difailkan ahli politik pembangkang bagi menggugat keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10 adalah tidak wajar dan hanya memecahbelahkan rakyat.
Menurut Ahli Dewan Negara, Abun Sui Anyit (gambar), pengampunan penuh yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Datuk Seri Anwar pada tahun 2018 lalu sebenarnya telah menghapuskan segala sabitan, hukuman dan implikasi undang-undang terhadap beliau.
Menurutnya, penegasan itu selari dengan hujah pakar undang undang Perlembagaan, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, dalam artikel beliau bertajuk “Memahami Kesan Perlembagaan Kelulusan Diri” yang disiarkan BERNAMA semalam.
"Prof Shad telah menjelaskan secara terperinci dan berasaskan prinsip undang-undang Perlembagaan bahawa pengampunan sepenuhnya (free pardon) di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan menghapuskan segala bentuk sabitan, hukuman, serta sebarang kesan undang-undang yang berkaitan, termasuklah sebarang bentuk diskualifikasi di bawah Perkara 48(1)(e) dan (3) [berhubung kedudukan sebagai PM]," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abun yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang menambah, pengampunan penuh tersebut secara automatik telah memulihkan hak dan kelayakan Anwar untuk bertanding dalam pilihanraya serta dilantik sebagai Ahli Parlimen dan seterusnya Perdana Menteri.
"Pengampunan penuh yang telah diperkenankan Agong bukan sahaja membebaskan perdana menteri daripada sabitan, tetapi secara automatik memulihkan hak dan kelayakan beliau untuk bertanding dalam pilihanraya.
"Pandangan ini disokong oleh preseden atau duluan undang-undang tempatan dan antarabangsa, serta pandangan Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri," ujarnya.
Sehubungan itu, Abun menolak sebarang usaha pihak tertentu yang cuba memutarbelitkan tafsiran Perlembagaan demi kepentingan politik sempit.
"Undang-undang tertinggi negara ini tidak wajar dijadikan alat untuk menimbulkan kekeliruan dan ketidakstabilan rakyat," tegasnya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak turut menyeru semua pihak, khususnya ahli politik dan pemimpin masyarakat, agar menghormati prinsip kedaulatan undang-undang serta tidak menjejaskan keabsahan institusi negara dengan spekulasi yang mengelirukan.
"Sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung demokrasi dan keluhuran Perlembagaan, kita semua bertanggungjawab untuk memelihara keabsahan institusi negara dan mengelakkan spekulasi yang boleh mencetuskan kekeliruan atau merosakkan keharmonian negara," katanya lagi.









Comments