top of page

Pengampunan: Jangan samakan kes Anwar dan kes penyelewengan dana awam

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
21 hours ago
2 min read
Ds Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat pengampunan penuh pada 2018
Ds Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat pengampunan penuh pada 2018

Tindakan menyamakan pengampunan penuh yang diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pengampunan bagi kes sabitan rasuah atau salah guna kuasa individu lain merupakan satu analogi yang sangat cacat (false equivalency), mengelirukan dan sengaja mengaburkan fakta sebenar.


Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Datuk Aiman Athirah Sabu menjelaskan, terdapat tiga perbezaan asas yang menepis hujah tersebut secara menyeluruh, iaitu jenis pengampunan yang merangkumi pembersihan berbanding peringanan, kedaulatan undang-undang dan integriti institusi, serta perlindungan wang rakyat berbanding kes yang tidak melibatkan kerugian dana awam.


Katanya bagi kes Anwar, beliau menerima pengampunan penuh atas perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V dan pengampunan tersebut didasari pandangan bahawa kes berkenaan merupakan suatu salah laku keadilan (miscarriage of justice) dan bermotifkan penganiayaan politik.


"Kesan daripada pengampunan penuh ini adalah memulihkan kedudukan serta hak beliau dari sudut undang-undang. Manakala dalam kes jenayah kolar putih atau rasuah yang membabitkan individu lain, permohonan pengampunan bukan bersandarkan dakwaan berlakunya penganiayaan politik.


"Perbicaraan telah melalui pelbagai peringkat mahkamah, termasuk Mahkamah Persekutuan, serta adanya bukti jelas berkaitan penyelewengan dana awam.


"Pengampunan yang dipohon, seperti pengurangan atau peringanan hukuman, adalah atas dasar belas kasihan (clemency), bukannya kerana mahkamah atau institusi diraja mendapati individu tersebut tidak bersalah atau telah dianiaya," katanya menerusi kenyataan hari ini.


Menyentuh mengenai perbezaan asas kedaulatan undang-undang dan integriti institusi, Aiman berkata, sikap mempersoalkan usaha membebaskan seseorang yang telah disabitkan atas kesalahan rasuah melibatkan wang awam bukan petanda ‘tidak setia’ atau tindakan mempertikaikan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.


Sebaliknya, kata Aiman yang juga Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN), hal itu merupakan tanggungjawab moral semua pihak untuk mempertahankan integriti institusi kehakiman.


Beliau berkata, membebaskan individu yang telah disabitkan secara sah kerana menyeleweng ratusan juta ringgit wang rakyat hanya akan menghantar isyarat yang salah kepada dunia tentang komitmen negara terhadap tatakelola dan pembanterasan rasuah.


"Perbezaan asas ialah tentang melindungi wang rakyat berbanding kes yang tidak melibatkan kerugian dana awam. Kes melibatkan Anwar tidak membabitkan kerugian dana awam, wang cukai rakyat atau krisis kewangan negara.


"Sebaliknya, kes rasuah dan salah guna kuasa berprofil tinggi melibatkan pecah amanah serta penyelewengan dana awam telah memberi kesan langsung kepada ekonomi negara dan kebajikan rakyat.


"Maka, wajarlah prinsip kedaulatan undang-undang ditegakkan dan hukuman yang diputuskan oleh mahkamah dilaksanakan, demi keadilan kepada pembayar cukai serta seluruh rakyat Malaysia," ujarnya lagi.


Dalam kenyataan sama, Aiman menegaskan bahawa tiada sesiapa yang mempertikaikan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, namun rakyat tetap berhak bersuara demi mempertahankan tata kelola dan integriti negara agar pesalah rasuah tidak sewenang-wenangnya terlepas daripada hukuman.


"Mendakwa bahawa wujud ‘piawaian berbeza’ merupakan satu cubaan terdesak untuk menormalisasikan jenayah rasuah dengan menunggang naratif kes politik masa lalu.


"Menyokong pembersihan nama seorang mangsa kezaliman politik, iaitu Anwar dan menolak pembebasan awal pesalah rasuah tegar bukanlah satu piawaian berbeza.


"Ia merupakan standard moral yang konsisten bagi memastikan penjenayah kolar putih menerima hukuman yang sewajarnya," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page